![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 8 September – Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menegaskan bahawa penglibatan belia perlu diperkasa sebagai teras kesinambungan agro negeri serta penggerak utama inovasi pertanian masa depan.
Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan hanya 15.5 peratus tenaga buruh muda berusia bawah 40 tahun terlibat dalam sektor pertanian pada tahun 2023, satu angka yang masih rendah berbanding keperluan sebenar negara untuk menjamin keterjaminan makanan.
“Jika jurang ini tidak ditangani, kita berisiko kehilangan generasi pelapis dalam sektor penting ini. Justeru, belia mesti tampil sebagai penyambung generasi, peneraju agropreneur moden dan penggerak teknologi baharu seperti pertanian pintar, automasi serta pemasaran digital,” katanya ketika merasmikan Bengkel Agroniaga Muda 2025 di Dewan Saidina Abu Bakar, Kompleks Islam Darulnaim Lundang, di sini, hari ini.
Program dua hari anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. (KBC), Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Agrobank dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu menghimpunkan 40 peserta daripada pelbagai bidang termasuk pertanian, penternakan, perikanan, industri asas tani dan usahawan muda.
Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan menyeluruh merangkumi Taklimat Geran Agropreneur Muda (GAM) dengan pembiayaan sehingga RM50,000, strategi pemasaran FAMA, skim pembiayaan Agrobank serta modul penyediaan rancangan perniagaan bersama pakar UMK.
Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut menzahirkan penghargaan kepada KBC dan semua agensi rakan strategik yang menyumbang kepakaran tenaga penceramah serta perkongsian ilmu sepanjang bengkel tersebut.
“Program begini wajar diteruskan sebagai platform belia menimba pengalaman, membina jaringan agro yang dinamik serta melahirkan usahawan tani moden yang menyumbang kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
0 Comments