Syarikat Ladang Sungai Terah raih penarafan lima bintang


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 8 September – Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) muncul sebagai penerima penarafan tertinggi lima bintang dalam Majlis Anugerah Penarafan Syarikat Anak PKINK 2024.

Majlis berprestij itu berlangsung di Kelantan Trade Center (KTC), semalam.

Empat lagi syarikat menerima penarafan empat bintang iaitu Syarikat Infra Quest Sdn. Bhd. (IQSB), Kelstone Sdn. Bhd. (KSB), Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn. Bhd. (KPKSB) dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Setiap syarikat yang menerima pengiktirafan membawa pulang hadiah wang tunai, cek cura dan piala penghargaan.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 24 kakitangan daripada syarikat anak PKINK turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 sebagai pengiktirafan atas dedikasi dan prestasi cemerlang mereka.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.


Menerusi hantaran di media sosial, Menteri Besar menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut bukan sekadar mengiktiraf prestasi kerja, tetapi turut mencerminkan kesan positif kepada pembangunan negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.

“Saya berharap penghargaan ini menjadi pemangkin semangat untuk meneruskan kecemerlangan dan membawa organisasi ke tahap lebih tinggi serta memastikan manfaatnya kembali dinikmati oleh rakyat negeri Kelantan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa setiap tugasan yang dilakukan di tempat kerja boleh menjadi ibadah sekiranya diniatkan ikhlas kerana Allah.

“Inilah sebuah prinsip yang menerapkan budaya kerja berteraskan Ubudiyyah (pengabdian), Mas’uliyyah (tanggungjawab) dan Itqan (ketekunan). Nilai inilah yang menjadi pemacu utama kejayaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI), melalui budaya kerja berkualiti dan penuh amanah,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments