Kelantan sokong penuh Kota Bharu sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 7 September — Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Festival Citarasa Warisan @ Pantai Timur 2025 yang disifatkan sebagai platform penting untuk mengangkat martabat seni, budaya dan warisan negeri, sekali gus memperkukuh aspirasi menjadikan Kota Bharu sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata pengiktirafan itu amat signifikan memandangkan makanan warisan merupakan antara tarikan utama pelancong ke negeri ini, seiring dengan status Kelantan sebagai destinasi budaya.

“Malaysia kini hanya mempunyai satu bandar yang diiktiraf UNESCO sebagai Bandar Gastronomi iaitu Kuching, Sarawak. Selepas ini, Kota Bharu berpotensi menjadi bandar kedua yang meraih pengiktirafan berprestij ini,” katanya ketika dalam majlis perasmian festival berkenaan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam tadi.

Majlis perasmiannya pula disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Menteri Besar turut menegaskan bahawa seni, budaya dan warisan adalah cerminan identiti manusia.

Menurutnya, Kelantan kaya dengan makanan tradisi dan seni persembahan seperti wayang kulit, dikir barat, silat, kraftangan seperti anyaman kercut, batik dan songket, serta permainan tradisional seperti gasing.

“Antara pengiktirafan antarabangsa yang diterima Kelantan ialah Mak Yong (2008), Silat (2019), Upacara Wangkang (2020) dan Songket (2021) yang diinskripsi di bawah UNESCO. Wayang Kulit Kelantan pula sedang dicalonkan untuk inskripsi pada tahun 2026,” jelasnya.

Mengulas aspek kulinari, beliau menegaskan makanan warisan adalah aset besar pelancongan negeri. Antara menu popular termasuk nasi tumpang, nasi kerabu, lompat tikam dan cek mek molek, namun beberapa juadah tradisi seperti teresek jantung pisang, kuih beko, kuih poli dan ubi gadong rebus semakin jarang ditemui.



“Perubahan citarasa, kurang minat generasi muda serta kesukaran mendapatkan bahan mentah menjadi faktor kepupusan makanan tradisi ini. Justeru, promosi dan pengkomersialan perlu diperhebat agar ia terus relevan di peringkat lebih tinggi, bukan sekadar bertahan di kampung atau daerah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan festival seumpama itu dijadikan agenda berkala negeri bagi memastikan kelestarian makanan warisan, selain merancakkan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dato' Shaharuddin Abu Sohot.

Diiringi, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohamad Muda Bahadin.

Post a Comment

0 Comments