Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 8 September – Sejumlah 105 pelajar Kelantan yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah tahun ini disantuni Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dalam satu majlis ramah mesra di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Majlis yang turut diserikan dengan penyampaian sumbangan bernilai RM52,500 itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong agenda pendidikan tinggi, khususnya dalam melahirkan ilmuan Islam dan profesional berjiwa rakyat dari Kelantan.
Menteri Besar menekankan kepentingan menuntut ilmu dengan penuh keikhlasan, bukan untuk mencari kedudukan atau kemasyhuran.
Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "barangsiapa yang mencari ilmu dengan tujuan menyaingi ulama (berdebat dengan mereka) atau mempermainkan orang-orang bodoh dan supaya dihormati oleh manusia, Allah akan memasukkannya ke dalam neraka."
Jelas beliau, ilmu yang diperoleh harus dimanfaatkan untuk diri sendiri, masyarakat serta pembangunan negeri sebaik sahaja para pelajar kembali ke tanah air.
“Saya berharap para pelajar ini akan pulang suatu hari nanti sebagai aset penting yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Kelantan, sama ada dalam aspek pendidikan, dakwah mahupun kepimpinan masyarakat,” katanya.
Bakal mahasiswa tersebut dijadualkan melanjutkan pengajian di Mesir, Jordan dan Tunisia dalam pelbagai bidang termasuk Ulum Islamiah, perubatan dan pergigian, pengajian Islam serta ilmu qiraat.
Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Zulkifle Ab Rahman serta Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Nik Hashim.
0 Comments