Kelantan tubuh MPKK, bantu penghulu urus hal ehwal rakyat

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan

Oleh: Asri Hamat

BACHOK, 3 September — Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah proaktif memperkukuh tadbir urus di peringkat akar umbi dengan menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu penghulu melaksanakan urusan rakyat secara lebih sistematik dan berkesan.

Inisiatif yang dikendalikan melalui Majlis Penghulu Negeri Kelantan itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, dalam satu majlis rasmi di Pantai Irama, Bachok, pada Sabtu.

Menurutnya, penghulu merupakan tonggak penting pentadbiran mukim dan sering kali lebih rapat dengan masyarakat berbanding wakil rakyat, justeru sokongan tambahan amat diperlukan agar peranan mereka lebih mantap.

“Kadang-kadang bagi masyarakat, penghulu lebih penting daripada wakil rakyat kerana mereka lebih banyak masa bersama rakyat,” katanya.

Tambahnya, penghulu merupakan pemimpin tempatan sekali gus penghubung dua hala rakyat dan Kerajaan yang menyampaikan aspirasi masyarakat kepada pihak berwajib serta memastikan dasar kerajaan difahami rakyat di peringkat kampung.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan MPKK membolehkan bantuan yang sebelum ini hadir secara tidak rasmi daripada masyarakat disusun lebih teratur dan bersistem.

“Dengan MPKK, penghulu kini mempunyai sokongan tujuh orang ahli tetap di setiap mukim untuk membantu mengurus hal ehwal kampung, kebajikan, dan pembangunan masyarakat setempat,” jelasnya.

Sesi “cuoh madu” dalam balang sebagai gimik kebersamaan penghulu

Kelantan kini memiliki 636 mukim dengan hampir 4,500 ahli MPKK di seluruh negeri, menjadikan langkah berkenaan satu jaringan sokongan besar yang diyakini mampu meningkatkan keberkesanan pentadbiran di peringkat akar umbi.

Penubuhan MPKK juga disifatkan sebagai penggerak penting dalam menjayakan dasar “Penghayatan Membangun Bersama Islam”, yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.

Post a Comment

0 Comments