Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Timbalan Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Timbalan Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 3 September – Usaha membangunkan sektor mineral nadir bumi (Rare Earth Elements REE) di Kelantan melangkah ke fasa lebih teratur apabila Pusat Keusahawanan Teknologi Emas, Nadir Bumi dan Bahan (GREAT). Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membentangkan inisiatif penyelidikan komprehensif kepada kerajaan negeri.
Kunjungan hormat itu diketuai Naib Canselor UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, dan disambut oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada Isnin.
Menurut Dato’ Dr Mohamed Fadzli, pembentangan tersebut merangkumi aspek pemetaan geologi, analisis mineralogi serta metodologi pemprosesan REE yang disokong kepakaran teknikal GREAT.
“Saya dimaklumkan GREAT memiliki kemudahan makmal bersepadu dengan peralatan analisis mineral canggih, menjadikannya rujukan penting dalam penyelidikan dan pembangunan REE di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau menyifatkan keupayaan teknikal serta jaringan kerjasama strategik GREAT sebagai aset penting bagi memastikan pembangunan mineral negeri dapat dilaksanakan secara berhemah dan berimpak tinggi.
“Hasil kajian empirikal yang dibentangkan boleh dijadikan penanda aras kepada kerajaan negeri dalam menilai potensi REE, menetapkan garis panduan kelestarian serta memastikan pengurusan sumber mineral dijalankan secara telus dan lestari,” jelasnya.
0 Comments