SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Tokoh korporat, usahawan, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta seluruh anggota masyarakat wajar berganding bahu memperkukuhkan agenda kebajikan di Kelantan.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif kebajikan yang digerak bukan hanya bersifat projek bantuan kewangan sahaja, bahkan sebagai manifestasi kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
Menurutnya, kaedah itu mampu membina modal insan, memperkukuh daya saing generasi muda serta mendidik masyarakat dengan nilai Islam yang saksama.
“Saya mulakan ucapan dengan sepotong ayat al-Quran yang membangkitkan inspirasi dan motivasi agar merebut peluang untuk berinfaq sama ada dengan bersedekah, berzakat mahu pun berwaqaf sebelum tibanya ajal,” katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Yayasan Kasih Mutiara dan Sambutan 50 Tahun Pengasas Konsortium E-Mutiara Berhad dalam Industri Pengangkutan Negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan; Speaker DUN Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco; wakil-wakil rakyat serta Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Sempena pelancaran tersebut yayasan berkenaan menerima sumbangan dana awal daripada kumpulan syarikat di bawah E-Mutiara Berhad antaranya Konsortium E-Mutiara Berhad sebanyak RM100,000.
Selain itu GM Station Sdn Bhd (RM100,000), Mekar Angkut Sdn Bhd (RM100,000), Che Ibrahim Group (RM50,000) dan Himmah Resources Sdn Bhd (RM50,000).
Majlis turut diserikan persembahan artis Hazwan Haziq Rosebi yang juga merupakan peserta Akademi Fantasia (AF)Ke-4.
Turut diundang Den Manjo dan Fendi Kenali yang mempersembahkan lagu-lagu hit antaranya I Love Klate, Mek Klate, Selamat Date Ke Negeri Klate.
Sementara itu Che Ibrahim berkata, bapanya Allahyarham Che Ismail dan ibu arwah Nik Som sentiasa membimbing serta mendoakan kejayaan anak-anak ketika mereka masih hidup.
Menurutnya, mereka berdua banyak memberi nasihat, perangsang sehingga kejayaan dicapai sekarang.
Beliau turut memaklumkan pelancaran Yayasan Kasih Mutiara diperkukuh dengan pengenalan enam Ahli Pemegang Amanah.
0 Comments