Konvoi Belia Benci Dadah gempur tujuh jajahan, Kelantan tekad capai sifar dadah


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 10 September – Kerajaan Negeri Kelantan memperhebatkan usaha membanteras najis dadah apabila menganjurkan Konvoi Belia Benci Dadah Negeri Kelantan pada 19 dan 20 September ini.

Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, konvoi melibatkan 100 peserta bermotosikal dari kalangan NGO serta agensi kerajaan merentasi tujuh jajahan tersebut bertujuan menyatukan suara belia menentang dadah di samping merapatkan hubungan pemimpin belia dengan anak muda.

“Program ini merupakan cetusan idea Arternative Riding Club (ARC) yang disambut baik oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, serta mendapat sokongan padu pelbagai agensi,” katanya pada sidang media di Mabna, semalam.

Mohd Firdaus Mohamed Nawi, Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS)

Antara agensi terlibat ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), PEMADAM Negeri Kelantan, Rumah Saidina Umar dan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) Baitul Taubah.

Konvoi akan bermula di Kompleks Kota Darulnaim sebelum bergerak ke Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli dan berakhir di Pasir Mas.

Menurutnya, sepanjang program, pengisian turut difokuskan kepada aspek pencegahan, pemulihan dan pendidikan masyarakat. Antara aktiviti termasuk sesi santai bersama klien pemulihan di Rumah Saidina Umar dan Baitul Taubah bagi memberi sokongan moral, serta program “terjah anak muda” di beberapa lokasi tumpuan seperti Masjid Ibrahimi dan Pasar Pendekar di Pasir Puteh.

Tambah Firdaus, langkah itu penting kerana ada remaja terjebak akibat pengaruh rakan sebaya tanpa sedar bahawa bahan yang diambil sebenarnya dadah berbahaya.

Post a Comment

0 Comments