Anugerah Seni Negeri Kelantan 2025 iktiraf jasa penggiat seni Kelantan


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 28 Oktober – Anak seni dan penggiat budaya Kelantan diraikan dalam Majlis Penganugerahan Anugerah Seni Negeri (ASN) Kelantan 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor.

Datuk Kamaruddin menzahirkan penghargaan tinggi kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) atas penganjuran majlis anugerah itu.

YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan

"Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan para penggiat seni, tetapi turut mengangkat martabat seni dan budaya negeri.

"Saya berharap kategori kesenian dapat dikembangkan kepada lebih banyak cabang, terutama kepada pengusaha kraf tangan, ukiran kayu, logam, emas dan perak," katanya ketika ditemui selepas majlis, semalam.

Menurut beliau, pemilihan penerima anugerah dibuat berdasarkan penilaian ahli panel serta cadangan daripada persatuan-persatuan seni di negeri ini.



Anugerah utama, Anugerah Tokoh Seni Negeri 2025, dianugerahkan kepada Zainal Abidin Muhammad sebagai pengiktirafan sumbangan beliau dalam dunia seni dan budaya Kelantan.

Tokoh yang merupakan pengarah teater/ persembahan itu membawa pulang wang tunai RM3000, sijil dan plak penghargaan.

Bagi kategori lain pula, Persatuan Kebudayaan, Kesenian Awang Selamat, Kota Bharu telah menerima Anugerah Pendukung Seni Negeri 2025 bagi kategori Badan Bukan Kerajaan, manakala KamalAriff Holdings Sendiri Berhad dipilih bagi kategori Agensi Kerajaan/Korporat.

Kategori Media pula menyaksikan Rona Merah Network menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka mempromosi dan mengetengahkan seni budaya Kelantan melalui liputan visual dan penulisan.

Post a Comment

0 Comments