K-RINK 2025 asah bakat pelajar dalam dunia teknologi


Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 28 Oktober – Karnival Robotik dan Inovasi Kelantan (K-RINK) 2025 terus menjadi platform penting dalam mengasah bakat pelajar dalam bidang robotik, teknologi dan inovasi digital.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penganjuran karnival itu mampu memperkukuh budaya penyelidikan dan semangat reka cipta di peringkat sekolah.

“Pelbagai hasil inovasi menarik diketengahkan sepanjang karnival ini, memperlihatkan kreativiti dan daya fikir luar biasa dalam kalangan pelajar,” katanya.

YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan

Menurut beliau, K-RINK 2025 turut bertujuan menyemai budaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda, terutama pelajar sekolah, kerana mereka lebih mudah dibimbing dan dibentuk sejak awal.

“Karnival ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seiring aspirasi negara untuk melahirkan generasi celik teknologi dan berdaya inovatif.

“Saya juga ingin melihat pelajar-pelajar YIK bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta teknologi. Apabila sampai masanya nanti, Kelantan khususnya dan Malaysia amnya tidak lagi bergantung kepada teknologi luar,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup K-RINK 2025 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Kompleks Islam Sultan Ismail Petra, Panji, pada Isnin.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk membuka penyertaan kepada sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada penganjuran tahun hadapan supaya manfaat program seperti ini dapat dikongsi dengan lebih meluas.

Sebanyak 30 pasukan mewakili 60 buah sekolah YIK telah menyertai pertandingan robotik, manakala 44 buah sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi sepanjang K-RINK 2025.

Johan pertandingan robotik disandang oleh sekolah Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu dan SMU (A) Bustanul Saadah Morak, diikuti Naib Johan oleh Maahad Muhammadi Gua Musang dan SMU (A) Al-Taqwa, Ciku.


Tempat ketiga dimenangi oleh Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman dan SMU (A) Ittihadiah Tanjung Pagar, manakala tempat keempat disandang oleh Maahad Syamsul Maarif Lelaki dan SMU (A) Taqadum Ilmi, Ketereh.

Hadiah bagi kategori robotik ialah wang tunai RM1,000, dua kit robotik dan sijil penyertaan untuk Johan, diikuti RM700 untuk Naib Johan, RM500 untuk tempat ketiga dan RM400 untuk tempat keempat bersama kit robotik dan sijil masing-masing.

Bagi kategori inovasi, Maahad Sains Tok Guru muncul Johan dengan projek bertajuk “Cermin Mata Pintar Orang Buta”. Naib Johan dimenangi oleh Maahad Muhammadi Perempuan, tempat ketiga oleh Maahad Muhammadi Lelaki, dan tempat keempat oleh Maahad Muhammadi Gua Musang.


Johan kategori inovasi menerima RM1,000, dua medal, satu kit robotik dan sijil, diikuti RM700 untuk Naib Johan, RM500 untuk tempat ketiga, dan RM400 untuk tempat keempat bersama hadiah iringan masing-masing.

Turut hadir pada majlis penutup tersebut ialah Pengarah YIK, Dato’ Zulkifle Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Norazlili Leley Muhamad, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Nik Jesim Tan Sri Nik Hashim, Pengurus Besar ICT Kelantan Gateway, Roslan Mohd Zin, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik Politeknik Kota Bharu, Nik Hishamudin Nik Mustafa serta Ketua Pegawai Eksekutif Robotic System Enterprise, Dr Dafizal Derawi.



Post a Comment

0 Comments