Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 27 Oktober – Suasana Himpunan Wanita Sejahtera Kelantan 2025 yang berlangsung pada Jumaat di Dewan Kelantan Trade Centre (KTC) diserikan dengan sesi berbalas pantun yang menyerlahkan kreativiti dan semangat perpaduan wanita Kelantan.
Acara dua sesi berbalas pantun itu menampilkan persembahan yang kreatif dan cukup bermakna.
Sesi pertama bertemakan “Wanita Tongkat Serandang” telah menampilkan isteri-isteri Ahli Dewan Negeri (ADN) menyampaikan pantun tentang peranan wanita sebagai pendokong keluarga dan masyarakat.
Sesi kedua, bertemakan “Siasah Silang Budaya”, melibatkan wakil wanita dari pelbagai kaum, memperlihatkan keharmonian budaya serta perpaduan masyarakat majmuk di Kelantan.
Hampir 400 wanita daripada pelbagai latar belakang telah menghadiri himpunan tersebut yang dianjurkan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa) dengan kerjasama Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA) sempena Sambutan 35 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI).
Isteri Menteri Besar Kelantan merangkap Yang Dipertua (YDP) PURNAMA Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaakob berkata, wanita merupakan sayap perjuangan yang memainkan peranan penting dalam memimpin keluarga dan masyarakat ke arah pembangunan berteraskan Islam.
"Wanita bukan sahaja penggerak keluarga, malah sayap perjuangan yang memperkukuh perjuangan Islam dalam masyarakat. Dengan ilmu dan iman, wanita mampu membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu,” jelasnya.
Himpunan itu turut dihadiri Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Dato’ Rohani Ibrahim, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, serta ahli-ahli PURNAMA.





0 Comments