Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 27 Oktober 2025 – Generasi muda hari ini perlu memahami sejarah perjuangan Islam di Kelantan agar mereka dapat terus mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi asas pentadbiran negeri.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad berkata, kebanyakan anak muda Kelantan hari ini ialah mereka yang lahir selepas era MBI iaitu selepas tahun 1990.
"Mungkin mereka tidak pernah merasai bagaimana susahnya usaha kerajaan ketika itu dalam memasakkan nilai Islam ke dalam pentadbiran negeri. Namun, hasil perjuangan panjang itu telah membentuk suasana kehidupan yang kita nikmati hari ini.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pentas Anak Muda sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Pentadbiran MBI di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Rabbani yang membawakan lirik-lirik yang mengimbau nostalgia peminat nasyid, sekali gus memeriahkan suasana Pentas Anak Muda.
Menurut YB Zamakhshari, sebelum tahun 1990, suasana negeri Kelantan sangat berbeza apabila maksiat, judi dan arak berleluasa di merata tempat.
"Tok Guru ketika itu hanya mampu menyampaikan dakwah dan mengingatkan masyarakat tentang halal dan haram, tetapi tiada kuasa untuk melaksanakan perubahan sebenar,” ujarnya.
Namun katanya, selepas rakyat Kelantan memberi mandat kepada PAS pada tahun 1990, bermulalah satu era baharu apabila dasar Islam mula diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pentadbiran.
"Kedai-kedai judi tidak lagi diberikan lesen, lesen arak dikawal dan dasar negeri disusun berasaskan prinsip Islam.
Apa yang Tok Guru ajar di masjid kini dapat diterjemahkan dalam dasar kerajaan,” jelasnya.
YB Zamakhshari menegaskan generasi muda perlu mengenal akar sejarah perjuangan ini supaya mereka mampu mempertahankan dasar Islam yang menjadi asas pentadbiran negeri Kelantan.
"Generasi muda hari ini membesar dalam suasana yang sudah aman daripada anasir tidak baik. Sebab itulah kita mesti membaca dan memahami sejarah bagaimana Tok Guru menerapkan dasar MBI,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga melihat kehadiran ramai anak muda di Dataran Warisan sebagai bukti kebangkitan generasi baharu yang yakin dengan perjuangan Islam.
"Melihat wajah anak-anak muda di Dataran Warisan petang ini, jelas bahawa generasi kini semakin berani, berilmu dan yakin dengan jalan perjuangan.
"Mereka tidak lagi hanya menjadi penonton, tetapi pewaris kepada legasi kepimpinan yang dibina sejak tujuh dekad lalu,” katanya.
Sementara itu, majlis perasmian berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Pentas Anak Muda. Zul Azhan Zulkefli dari Gua Musang dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang RM350, sijil dan piala. Manakala, Ahmad Ramzil Hafiizie Rusli dari Pasir Puteh meraih Naib Johan dengan hadiah RM250, sijil dan piala. Tempat ketiga pula disandang oleh Muhammad Haikal Hasif Abdul Halim dari Jeli dengan membawa pulang RM200, sijil dan piala.
![]() |
| Johan Pentas Anak Muda, Zul Azhan Zulkefli dari Gua Musang |
![]() |
| Naib Johan Pentas Anak Muda, Ahmad Ramzil Hafiizie Rusli dari Pasir Puteh |
![]() |
| Tempat Ketiga Pentas Anak Muda, Muhammad Haikal Hasif Abdul Halim dari Jeli |





0 Comments