LTSIP kendali lebih 1.3 juta penumpang sehingga September tahun ini


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 27 Oktober - Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bukan sahaja sebagai pintu masuk ke Kelantan, tetapi juga menjadi nadi penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Pantai Timur.

Pengarah Urusan Malaysia Airport, Dato' Mohd Izani Ghani berkata, sejak dari bulan Januari hingga September tahun ini, LTSIP telah mengendalikan lebih dari 1.3 juta penumpang.

"Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 122.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.



"Ini menggambarkan pertumbuhan luar biasa dalam permintaan perjalanan udara dari luar ke Kota Bharu."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan di majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi sempena MYAirportCARES Lestari Seni serta majlis sambutan penerbangan sulung Scoot Air di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini pada Ahad.

Tambah Dato' Mohd Izani lagi, pemilihan rebana ubi sebagai fokus program MYAiportCARES Lestari Seni bukanlah satu kebetulan. Seni rebana ubi pada satu ketika dahulu begitu dekat dengan kehidupan masyarakat di Kelantan. Ia dimainkan dalam acara kemasyarakatan dan perayaan. Namun begitu, seiring dengan peredaran masa rebana ubi jarang diketengahkan dan kian dilupakan oleh generasi muda.


"Dulu-dulu di Kelantan, khususnya Pasir Mas, mana-mana majlis akan dimeriahkan dengan persembahan rebana ubi. Tetapi sekarang ia sudah tiada, sebab itu ia menjadi fokus dalam program MYAiportCARES ini," jelas beliau.

Post a Comment

0 Comments