SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU:
Penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen baru-baru ini tidak wajar dijadikan bahan
politik murahan seolah-olah kerajaan memberi hadiah besar kepada rakyat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ustaz Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, rakyat lebih memahami keadaan sebenar kerana mereka berdepan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang.
“Turun 6 sen ibarat orang nak meminang Puteri Gunung Ledang, syaratnya macam-macam. Kerajaan umum besar-besaran seolah-olah luar biasa.
Mulai 30 September lepas rakyat Malaysia mendapat harga baharu RON95 pada RM1.99 seliter, namun disyarat menggunakan MyKad di kaunter dan pam.
Sekiranya tiada MyKad orang ramai terpaksa membayar pada harga RM2.60 seliter. Keadaan itu menimbulkan runggutan pelbagai pihak sehingga ada kes terpaksa meminjam MyKad orang lain.
Mohd Firdaus juga berkata, ketika harga petrol naik sebelum ini tidak ada pula pemimpin meminta rakyat bersyukur.
Kata beliau rakyat berhak mengkritik dasar kerajaan kerana mereka menanggung beban kos sara hidup.
“Penjimatan 6 sen dengan purata penggunaan 300 liter minyak sebulan, hasilnya terlalu kecil untuk dijadikan modal besar kerajaan.
“Untung tidak padan dengan modal. Modal buat marketing habis berjuta, tetapi rakyat hanya jimat setengah ringgit seminggu. Jangan perlekeh kecerdikan rakyat,” katanya.


0 Comments