Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 5 Oktober – Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dinobatkan juara Pertandingan Perarakan Kereta Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-56 selepas mengetengahkan persembahan kenderaan berhias paling kreatif dan sarat nilai tradisi berkonsepkan Bandar Dalam Taman.
Motif ikonik Kuala Krai seperti Jambatan Gantung Sultan Ismail, Mini Zoo Kuala Krai dan Tembikar Mambong membolehkan MDKK membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, berserta piala kejuaraan dan sijil penghargaan.
Majlis Daerah Tanah Merah (MDT) muncul naib johan dengan hadiah RM3,000, manakala Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK) di tempat ketiga dan menerima RM2,000.
Bagi kategori beca berhias, Hotel Jewels diumum sebagai johan, merangkul RM1,000, diikuti Hotel Perdana (naib johan, RM700) dan Hotel Renai (tempat ketiga, RM500).
Acara penuh warna-warni itu berlangsung meriah apabila puluhan ribu rakyat membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyaksikan perarakan 18 kereta dan 10 beca berhias yang berarak dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menuju ke stadium bermula pukul 8 malam tadi.
Turut berangkat menyaksikan acara ialah KDYMM Sultan Muhammad V bersama Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah serta Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Kelantan, Sahibul Samahah YB Dato' Kaya Perba Dato' Haji Mohamad Shukri Mohamad sebelum perarakan dibuka dengan segmen Adat Istiadat Diraja melibatkan pasukan istiadat, gajah, hulubalang dan 56 ekor kuda bersama 56 rakyat jelata sebagai simbol usia keputeraan Baginda.
Antara penyertaan yang mencuri tumpuan ialah kereta berhias persembahan Persatuan Hotel Bajet Malaysia Cawangan Kelantan yang bertemakan Pintu Gerbang Sultan Ismail Petra.
Tidak terkecuali Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang menampilkan kereta berhias bertemakan Nanas Pemacu Ekonomi Pertanian.
Sementara Majlis Daerah Tumpat (MDT) pula mengangkat tema Kampung Laut simbol warisan seni dan budaya nelayan di Tumpat.
Persembahan Akrobatik Army Red Warriors juga dipersembahkan diikuti silat dan dikir barat turut menghangatkan suasana dengan sorakan penonton bergema di seluruh stadium.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, kepimpinan kerajaan negeri, ketua jabatan serta para pembesar negeri.
0 Comments