![]() |
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 15 Oktober – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menyambut baik peruntukan besar dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Belanjawan 2026, khususnya RM7.9 bilion yang turut merangkumi RM45 juta bagi pembinaan modul digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk pelajar tahfiz dan pondok kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan inisiatif tersebut bergantung kepada pelaksanaan yang inklusif, agar negeri seperti Kelantan tidak terpinggir dalam fasa perlaksanaan di peringkat teknikal.
“Peruntukan RM45 juta untuk modul digital dan AI bagi pelajar tahfiz dan pondok merupakan langkah signifikan ke arah pemerkasaan pendidikan Islam berorientasikan masa depan. Namun, kita berharap pelaksanaannya turut melibatkan institusi tahfiz dan sekolah pondok di bawah YIK,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau turut menggesa agar Program Sekolah Angkat Madani yang diperluas kepada 1,500 sekolah juga melibatkan sekolah agama kendalian YIK.
“Pelajar sekolah agama juga wajar menikmati manfaat pembangunan pendidikan arus perdana,” ujarnya yang
turut menyambut baik peruntukan RM115 juta bagi latihan guru, khususnya bagi persediaan kurikulum baharu 2027 dan peningkatan pedagogi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“Guru-guru YIK juga perlu diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kurikulum tersebut,” tegasnya.
Dato’ Wan Roslan juga menarik perhatian kepada RM3 bilion dana latihan di bawah HRD Corp yang dijangka menyediakan tiga juta peluang latihan dalam teknologi tinggi, digital dan tenaga boleh baharu.
“Majlis TVET Kelantan perlu mengambil peluang ini. Keperluan tenaga kerja berkemahiran semakin meningkat dan anak-anak muda Kelantan perlu berada di barisan hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik peruntukan RM770 juta bagi memperkukuh capaian internet di sekolah dan kawasan perindustrian luar bandar, termasuk di Kelantan.
“Kemudahan digital yang stabil merupakan prasyarat utama untuk pendidikan moden dan ekonomi setempat,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan komited bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 berjalan lancar di negeri ini.
“Melalui agensi seperti YIK, usaha akan terus digerakkan agar anak-anak di sekolah menengah agama turut menerima manfaat daripada program pendidikan, TVET, digital dan inovasi yang dirancang di peringkat nasional,” ujarnya.
0 Comments