Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 16 Oktober – Kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan kerajaan negeri amat penting dalam mendepani cabaran keselamatan makanan dan membanteras kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan sektor pertanian.
Demikian kenyataan Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail susulan kunjungan hormat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan ke pejabatnya, semalam.
Kunjungan tersebut diketuai pengarahnya Syed Fuad Syed Putra bersama beberapa pegawai kanan jabatan.
Dato' Tuan Mohd Saripudin menyifatkan kerjasama itu sebagai platform penting bagi memperkukuh kawalan biosekuriti negeri terutama di kawasan sempadan.
“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah isu penyeludupan bahan makanan, tumbuhan, haiwan dan bahan kawalan yang berlaku di sempadan negeri. Jika tidak dibendung, ia mampu menggugat keselamatan makanan dan melemahkan daya saing hasil pertanian tempatan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu.
Menurutnya, kedua-dua pihak komited memastikan rantaian makanan negeri kekal terkawal, berkualiti serta selamat untuk pengguna sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri.
“Kerjasama erat antara agensi amat penting dalam mendepani cabaran keselamatan makanan serta menangani ancaman penyeludupan yang boleh menjejaskan sektor pertanian negeri,” tegasnya.
Tambahnya, usaha memperkukuh kawalan biosekuriti turut selari dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) serta gerakan Pertanian Al-Falah yang meletakkan pertanian sebagai medan ibadah dan pemangkin ekonomi ummah.
0 Comments