Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM , 19 Oktober – Sebanyak RM25,000 telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi memperkasakan penggunaan teknologi moden dalam kalangan nelayan, khususnya ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kecekapan serta keselamatan nelayan melalui penggunaan teknologi moden.
“Daripada jumlah RM25,000 tersebut, bantuan telah diberikan kepada 15 nelayan yang melibatkan agihan dua unit pukat, lapan unit GPS dan lima unit Echo Sounder,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Beliau menjelaskan, penggunaan Echo Sounder adalah penting bagi membolehkan nelayan mengesan lokasi ikan, menganggar kedalaman air, mengelakkan kemalangan di laut serta dapat meningkatkan hasil tangkapan.
Tambahnya, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi akan terus komited dalam memastikan sektor perikanan negeri terus berkembang pesat dan menjadi salah satu tulang belakang ekonomi pesisir negeri Kelantan.
Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama komuniti nelayan Kota Bharu berhimpun di Dewan Serbaguna Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LIKIM) Negeri Kelantan Kuala Besar, bagi membincangkan isu dan keperluan semasa golongan tersebut.
Program itu turut menjadi platform perbincangan secara langsung antara pihak kerajaan dan komuniti nelayan bagi memastikan setiap bantuan yang disalurkan menepati keperluan sebenar di lapangan.
0 Comments