Kelantan siap siaga hadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 – Exco Kebajikan

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Rohani Ibrahim

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 9 Oktober – Kelantan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan menjelang ketibaan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Sehubungan itu Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato Rohani Ibrahim memaklumkan bahawa Mesyuarat Pengurusan Kebajikan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 diadakan di Kota Darulnaim sebagai langkah persediaan awal Kerajaan Kelantan menghadapi bencana banjir.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkata, agenda utama adalah menekankan kepentingan kesiapsiagaan semua agensi kebajikan dan keselamatan bagi memastikan pengurusan bencana di setiap jajahan berjalan lancar.


"Mesyuarat ini merupakan rutin tahunan kerajaan negeri sebelum Monsun Timur Laut bagi membincangkan tahap kesiapsiagaan jabatan dan agensi berkaitan serta memberi ruang untuk perkongsian pandangan dan maklum balas bagi menambah baik pelan tindakan sedia ada," jelasnya ketika ditemui selepas mesyuarat, hari ini.

Belia juga menyeru orang ramai peka terhadap sebarang amaran perpindahan tanpa menunggu arahan pihak berkuasa.

"Kita perlu mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah ke pusat pemindahan apabila paras air mula meningkat. Tindakan awal ini amat penting bagi mengelakkan risiko, terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.” katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri timbalannya, YB Nor Asilah Mohamed Zin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Mohd Fauzi Abdullah, dan Pengarah Urus Setia Kebajikan , Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki.

Dalam sesi pembentangan, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Kapt (PA) Muhammad Ammar Ismail menjelaskan bahawa pelbagai latihan dan simulasi banjir telah dijalankan bersama anggota serta sukarelawan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan tindakan ketika bencana berlaku.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Kelantan Tuan Sani Sa’yun pula memaklumkan bahawa fasa peralihan monsun telah bermula sejak 30 September dan dijangka berterusan sehingga November 2025.

Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapt (PA) Muhammad Ammar Ismail

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Kelantan, Tuan Sani Sa’yun

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Azman Mat Zain

Bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Ketua Penolong Pengarah Azman Mat Zain menyatakan terdapat tambahan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) khususnya di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh, bagi menampung lebih ramai mangsa banjir.

Susulan mesyuarat itu, Dato’ Rohani memaklumkan bahawa taklimat kesiapsiagaan akan diadakan kepada NGO-NGO serta wakil-wakil setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan pemahaman dan tindakan yang seragam dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Post a Comment

0 Comments