KOTA BATAM: Pulau Batam yang merangkumi gugusan Kepulauan Riau kini semakin pesat membangun yang menyaingi kota-kota lain di pulau Sumatera. Kedudukannya lebih strategik kerana berdekatan dengan Malaysia dan Singapura.
Bangunan-bangunan baharu tumbuh seperti cendawan di segenap ruang di pulau tersebut. Malah banyak kawasan laut ditambak bagi menampung keperluan ekonomi dan penempatan penduduk.
Bangunan pencakar banyak kelihatan, di mana sebahagian besar berfungsi sebagai hotel dan gedung perniagaan. Kunjungan ramai pelancong terutama dari Malaysia dan Singapura membolehkan industri pelancongan terus berkembang.
Kira-kira 72.2 peratus daripada jumlah penduduk Kota Batam beragama Islam. Mereka terdiri daripada etnik Melayu, Jawa, Minangkabau dan lain-lain.Kota Batam juga mempunyai institusi pendidikan pondok, sekolah agama dan sekolah aliran kebangsaan.
Bagaimanapun kepesatan perkembangan ekonomi menyebabkan budaya Melayu yang dipertahankan sejak datuk nenek mulai terhakis ekoran kemasukan budaya luar dan pengaruh Barat.
Seorang pendidik, Rahmat Ikhsan bimbang budaya Melayu dan amalan Islam semakin terhakis berikutan kemasukan pengaruh dari luar."Pada pengamatan saya budaya Melayu dan amalan Islam di Kota Batam semakin pudar terutamanya dalam kalangan generasi muda. Usaha perlu dilakukan bagi mengelakkan budaya Melayu dan Islam terus terhakis.
"Usaha-usaha tersebut dilaksana pemerintah termasuk menganjur seminar, ceramah dan kempen kesedaran. Langkah tersebut turut mendapat kerjasama NGO," katanya di sini.Menurutnya Kota Batam semakin pesat membangun sejak 10 tahun lepas dengan kemasukan banyak pelabur termasuk dari Singapura dan Malaysia.




0 Comments