‘Saya sahkan Larut Ketua Pembangkang’ - Speaker

KUALA LUMPUR: Pertikaian siapa Ketua Pembangkang Dewan Rakyat selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, hari ini dimuktamadkan oleh Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya dengan ini mengesahkan Larut sebagai Ketua Pembangkang, jadi selepas ini ia tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.

Baru-baru itu Ketua Penerangan Bersatu, Dato’ Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggunakan kuasa 'veto' mengumumkan pelantikan semula Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau menyifatkan langkah tersebut sama seperti sistem Mullah, seseorang yang berada di luar kepimpinan rasmi boleh membatalkan keputusan yang sudah dipersetujui dalam organisasi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Dato’ Seri Saifuddin Abdullah sebelum ini menyifatkan pengumuman Presiden PAS mengekalkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang wajar kerana selari pendirian majoriti Ahli Parlimen pembangkang.

Pada himpunan Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini Tuan Guru Abdul Hadi mengumumkan pelantikan semula ahli parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang.

Kenyataan dibuat Speaker tersebut susulan ahli parlimen Kota Melaka dari DAP Khoo Poay Tiong yang cuba mempertikaikan pelantikan semula Hamzah.

Sebelum itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakam ucapan tahniah kepada Hamzah kerana dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang.

Ucapan serupa turut dirakam Ketua Whip PN Dato’ Seri Takiyuddin Hamzah.

 

Post a Comment

0 Comments