Kerajaan Madani mulai pamer wajah sebenar

 

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Kerajaan hari ini semakin menunjukkan wajah sebenar apabila arak mulai dihidang di majlis rasmi kerajaan secara terbuka.

Setiausaha Asabiqun Pusat, Mohd Noor Muhammad berkata, PAS sejak zaman lampau menentang keras perkara-perkara seperti itu sehingga akhirnya kerajaan terpaksa akur.

Malah katanya iklan penjualan arak di televisen tidak lagi disiarkan sekitar tahun 1970-an.

“Bukan itu sahaja, loteri kebajikan, penjualan rokok di media massa turut didesak PAS supaya kerajaan mengharamkan pengiklanannya secara terbuka,” katanya pada Himpunan Asabiqun Tumpat sempena sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pantai Sri Tujuh semalam.

Hadir sama Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan, Ketua Asabiqun Tumpat Wan Zakaria Wan Sulaiman dan ahli jawatankuasanya Mohd Yasin Yusoff.

Mohd Noor berkata, usaha itu dilakukan sedikit demi sedikit dengan mendesak kerajaan mengharamkan perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Mohd Adanan pula berkata, golongan Asabiqun perlu mengekalkan rekod tanpa kalah PAS di Kelantan selama 35 tahun.

“Kemenangan yang dicapai sebelum ini bukan hasil kerja individu, tetapi gabungan usaha mereka yang bekerja keras dan menyusun strategi untuk memastikan Islam terus dihormati di tanah air.

“Perjuangan menegakkan Islam bukan perkara baharu, malah telah ditempa melalui sejarah panjang penuh pengorbanan dan kesabaran menghadapi cabaran serta tekanan musuh,” katanya.

Oleh itu kata beliau generasi muda perlu dididik untuk memahami sejarah perjuangan tersebut agar tidak melupakan akar kekuatan yang membawa kepada kejayaan ini.

Baru-baru ini program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dihidang arak secara terbuka sempena majlis Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Dan semalam Pemuda PAS Selangor mengadakan himpunan aman yang turut disertai NGO di hadapan di Putrajaya hari ini bagi menuntut peletakan jawatan King Sing meletak jawatan.

 

Post a Comment

0 Comments