Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 8 Oktober – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan bahawa Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat, yang dikaitkan dengan individu dikenali sebagai “Abuya”, beroperasi tanpa pendaftaran sah dan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa agama negeri.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato’ Mohd Anis Hussein, semakan pihaknya mendapati institusi tersebut tidak pernah mengemukakan permohonan rasmi untuk didaftarkan sebagai sekolah atau institusi pengajian agama di bawah bidang kuasa MAIK.
“MAIK mengambil maklum isu ini dan sedang menyelaras tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa berkaitan. Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap madrasah tersebut dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
![]() |
Dato’ Mohd Anis Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK |
Beliau menjelaskan bahawa sebarang bentuk pengajian atau operasi institusi agama di Kelantan wajib mematuhi peruntukan subseksyen 96 (1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994, yang menetapkan keperluan pendaftaran rasmi sebelum menjalankan aktiviti pendidikan Islam.
Jelasnya, MAIK memandang serius sebarang aktiviti pendidikan agama yang dijalankan tanpa kelulusan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan serta kesahihan pengajaran agama Islam dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, madrasah berkenaan menjadi perhatian umum selepas beberapa rakaman video dan kenyataan individu dikenali sebagai “Abuya” tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi serta kebimbangan terhadap kandungan dan latar belakang ajaran yang dibawa.
Dato’ Mohd Anis turut menegaskan bahawa MAIK sentiasa memantau dan memperkukuh mekanisme kawal selia terhadap sekolah agama, pondok serta madrasah di negeri ini bagi memastikan setiap institusi mematuhi garis panduan, kurikulum dan akreditasi yang sah.
“MAIK mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menubuhkan institusi pengajian Islam di Kelantan agar mematuhi proses pendaftaran rasmi dan garis panduan yang ditetapkan. Ia penting bagi memastikan keharmonian serta keutuhan ajaran Islam terus terpelihara,” tegasnya.
0 Comments