Oleh: Norzana Razaly
Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings (KUM) sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila menerima ANUGERAH Green & Sustainability Award daripada IMT-GT (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle), hasil komitmen padu terhadap KEMPEN kelestarian alam sekitar di Kelantan.
Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri II Dato’ Sri Fadillah Yusof pada malam 26 September 2025 itu menandakan pengiktirafan terhadap komitmen pengurusan KUM, sekali gus memperlihatkan kedudukan Kelantan sebagai negeri yang semakin ke hadapan dalam agenda teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Mewakili seluruh warga KUM dan Kerajaan Negeri Kelantan, Pengurus Besar KUM Dr. Mohd Roshdi Hassan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul bersama.
“Kita di KUM amat bersyukur dan terharu dengan pengiktirafan ini. Kita anggapnya sebagai satu pengiktirafan kepada usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh agenda kelestarian dan teknologi hijau,” ujar beliau.
Program pendidikan bermula dengan agenda kitar semula bertaraf serantau
Menurut Dr. Roshdi, kejayaan itu dinilai berdasarkan pelbagai inisiatif utama KUM, khususnya melalui pelaksanaan Program Komuniti Amalan Hijau Kelantan (PKAH) serta inovasi digital ePKAH iaitu sebuah platform pendidikan kitar semula yang mendidik masyarakat mengurus sisa secara sistematik dan menjana ekonomi kitaran.
Selain itu, pemasangan sistem solar di Danau Tok Uban, program pendidikan kelestarian di sekolah dan komuniti serta pelaksanaan projek Landfill Mining turut menjadi faktor penanda aras yang diperakui IMT-GT.
“Semua inisiatif ini bergerak seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan aspirasi ‘Kelantanku Bersih”, jelasnya ketika ditemui pada 2 Oktober lalu.
Terima pengiktirafan berganda
Lebih membanggakan, anugerah IMT-GT tersebut merupakan pengiktirafan kedua diterima KUM pada tahun 2025 dalam kategori kelestarian alam sekitar. Dr. Roshdi menegaskan bahawa kejayaan berganda itu tidak mungkin dicapai tanpa kesepaduan seluruh warga kerja serta sokongan padu Kerajaan Negeri.
“Kejayaan ini berpunca daripada kesepaduan seluruh warga kerja KUM, sokongan kuat pihak pengurusan tertinggi serta Kerajaan Negeri Kelantan. Budaya kerja kami menekankan inovasi hijau dan ESG sebagai teras,” jelasnya dalam sesi wawancara bersama Pasukan Media UPKN pada 2 Oktober 2025.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah yang sentiasa mendokong pelaksanaan dasar hijau.
“Komitmen kerajaan negeri melalui agenda Kelantan Sejahtera untuk Semua dan Merakyatkan Kelantanku Bersih menjadi tonggak kepada usaha ini,” tambahnya.
Visi 2030: Kelantan negeri rendah karbon
Menjelang 2030, KUM meletakkan sasaran untuk menjadi syarikat utiliti dan teknologi hijau terunggul di Pantai Timur, dengan tumpuan kepada tenaga boleh baharu serta program kesedaran komuniti secara lebih sistematik.
Sehubungan itu, Dr. Mohd Roshdi menitipkan harapan khusus buat generasi muda berkaitan kepentingan mengekalkan kelestarian alam sekitar melalui kaedah kitar semula.
“Kita perlu mengubah persepsi terhadap sisa pepejal. Benda ini sebenarnya bukan sampah yang menjijikkan, tetapi sumber bernilai. Jika diuruskan dengan betul, semua barang buangan yang kita hasilkan di rumah dan di pejabat, boleh menjana pendapatan dan memberi masa depan lebih bersih kepada negeri kita.”
Beliau yakin, dengan kesedaran rakyat dan kesinambungan kerjasama negeri-persekutuan, Kelantan mampu diangkat sebagai Negeri Bandar Rendah Karbon dan Sejahtera dalam tempoh yang lebih cepat daripada yang dijangka.
0 Comments