Dokudrama Koleh Kacang: Rasa, warisan dan naratif digital dari dapur Kelantan


Oleh: Norzana Razaly

Kelantan yang terkenal dengan limpahan cita rasa tradisi, wujud satu perjalanan baharu dalam dunia pelancongan gastronomi yakni perjalanan yang menghubungkan rasa, identiti dan teknologi. Ketika Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar inflasi negeri itu hanya 0.1 peratus bagi Oktober 2025, menjadikannya negeri dengan kos makanan paling rendah di Malaysia, keistimewaan dapur Kelantan menjadi tumpuan. Dalam kesederhanaan harga dan keaslian rasa, terselit kekayaan budaya yang tidak ternilai.

Di tengah-tengah kemeriahan ini, muncul drama dokumentari (dokudrama) ke-18 terbitan Kerajaan Negeri Kelantan berjudul Koleh Kacang: Orang Tenang Selalu Menang. Ia merupakan sebuah karya kulinari tetapi turut membongkar akar asal usul penciptaannya yang dikatakan berkait dengan kisah Tok Pulai Chondong.

Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Mohd Nor, penerbitan dokudrama Koleh Kacang adalah kesinambungan daripada usaha yang dirintis sejak tahun 2022 oleh exco berkenaan terdahulu.

“Seperti kisah rakyat yang diwarisi turun-temurun, dokudrama ini menyimpan makna mendalam tentang kehidupan, kerja tangan, dan rasa syukur masyarakat Melayu Kelantan. Memandangkan projek ini sangat unik sebab ia memaparkan sisi penceritaan yang belum pernah kita dengar, jadi kita fikir ia wajar diteruskan.


“Sebelum ini, kita sudah pun terbitkan 10 episod yang mengupas kisah di sebalik juadah langka dan popular seperti Kerutuk Serati, Nasi Dagang Gulai Ikan, Nekbat, Cek Mek, Tapai, Sang Gupal, Kerabu Sare, Pulut Seri Kaya, Butir Nangka dan Ketupat sotong versi 1.

“Kemudian, siri kedua kita terbitkan pula enam episod - Lompat Tikam, Puteri Mandi, Jeruk Maman. Kita pertingkatkan lagi penyebarannya dengan pembikinan Akok, Pindang tapai dan Ketupat Sotong versi 2 dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab untuk siaran khas di lima lapangan terbang di Malaysia.

“Episod ke-17 ialah Nasi Kerabu versi empat warna pun sudah disiarkan pada 10 September lalu. Penerbitan ini ialah usaha kerajaan negeri khusus untuk mengangkat makanan tradisional ke tahap warisan kebangsaan, selaras dengan pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan keistimewaan dokudaram Koleh Kacang ialah pendekatan kreatifnya yang bukan dokumentari biasa. Sebaliknya, ia sebuah pementasan rasa yang menggabungkan semiotik makanan dalam naratif yang dihidupkan oleh anak negeri sendiri.

“Dari penulis skrip hingga juru video yang berkepakaran tinggi, dari penyampai naratif profesional hingga pelakon amatur tempatan, setiap individu menyumbang untuk menjadikan dokudrama ini satu bentuk sinergi budaya yang autentik,” ujarnya.

Lebih menarik, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) selaku media rasmi yang menerbitkannya telah melangkah setapak ke hadapan dengan mengubah naratif lisan menjadi warisan digital. Usaha ini wajar diberi kredit tertinggi kerana inovasi ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Jika pun ada pihak berwajib yang mendigitalkan teks tradisional melalui portal digital mereka, masih tidak serupa dengan inovasi Kelantan yang menukar hikayat dapur yang sarat kisah rakyat menjadi pengalaman visual dan emosional. Pendekatan inilah yang memperluaskan pemahaman masyarakat tentang warisan sebagai bukan hanya sesuatu yang dibaca, sebaliknya yang dapat dirasai, didengar, dan ditonton.

Lebih daripada promosi pelancongan, Koleh Kacang ialah satu manifestasi bahawa identiti negeri ini masih kukuh berakar, walau berpindah ke dunia digital. Juadah ini juga menzahirkan semangat “Set Kito Jange Pecoh” - citra semangat kebersamaan yang menghubungkan pemimpin, penggiat seni, dan masyarakat akar umbi dalam satu rasa cinta terhadap tanah air.

Apabila penonton menyaksikan dokudrama ini, mereka tidak hanya melihat kuih yang manis dan berlemak, mereka juga mengimbau sejarah, nilai, dan jati diri sebuah negeri. Inilah kekuatan gastronomi Kelantan. Rasa yang membentuk memori dan warisan yang kini dihidupkan semula dalam bentuk yang moden namun tetap segar keasliannya.

Post a Comment

0 Comments