Oleh Intan Lestari
KUALA LUMPUR:
Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewajibkan semua institusi
pendidikan prasekolah swasta berdaftar di bawah kementerian dianggap
menjejaskan operasi tadika swasta.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menyifatkan cadangan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha prasekolah termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di bawah kendalian PAS.
Katanya, cadangan kementerian itu dianggap sebagai strategi kerajaan untuk mewajibkan semua tadika termasuk Pasti berada di bawah pengawasan KPM.
“Tindakan itu mungkin menjejaskan autonomi serta peranan unik Pasti dalam sistem pendidikan awal sejak berpuluh tahun lalu.
“Pasti selama ini berperanan besar dalam melahirkan pelajar berkualiti dalam akademik dan sahsiah meskipun beroperasi tanpa peruntukan kerajaan.
"Saya bimbang ia akan menjejaskan operasi tadika swasta yang selama ini turut membantu memperkukuhkan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh menggesa kesemua tadika swasta di negara ini berdaftar di bawah kementerian itu.
Menurutnya langkah tersebut supaya kesemua tadika dapat mengguna pakai kurikulum prasekolah KPM sedia ada.
Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, sebarang perubahan dasar tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia boleh menjejas operasi pengusaha tadika swasta yang sudah lama beroperasi.
Sedangkan katanya Pasti dan tadika swasta beroperasi selaras dengan dasar pendidikan negara.


0 Comments