Mumtaz terima anugerah 'Architect of Change Women'

Oleh Intan Lestari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dianugerah "Architect of Change: Women Who Shape the World", sebuah pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada tokoh wanita berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, anugerah tersebut sebagai satu penghormatan bukan sahaja kepada Mumtaz, sebaliknya juga pengiktirafan usaha memartabatkan kepimpinan wanita di Malaysia. 

Katanya, anugerah itu sekali lagi mengangkat nama Malaysia melalui pencapaian luar biasa ahli parlimen terbabit dikenali sebagai figura kepimpinan wanita yang aktif memperjuangkan isu masyarakat, pembangunan wanita serta kebajikan rakyat.

"Datuk Mumtaz komited membawa suara wanita ke peringkat pembuat dasar dengan pendekatan progresif, selain rekod sumbangannya dalam bidang pembangunan sosial, keusahawanan wanita serta hubungan masyarakat.

“Pengiktirafan 'Women Who Shape the World' akan memberi inspirasi kepada generasi masa hadapan, sejajar dengan peranan Datuk Mumtaz yang sering menekankan kepentingan reformasi sosial dan kepimpinan berasaskan nilai,” katanya di sini. 

Mumtaz mendapat anugerah tersebut daripada Sayap Muslimat Jamiat Islami, iaitu sebuah parti politik Islam Pakistan.

Pengiktirafan itu disampaikan dalam Jamiat Islami Grand Annual Covention yang menghimpunkan lebih 150,000 peserta. Turut hadir pada program tersebut, anggota Exco Terengganu Dr Muhamad Khalil Abd Hadi. 

Post a Comment

0 Comments