Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 11 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkukuhkan kecekapan dan profesionalisme penjawat awam negeri selaras dengan agenda Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam Nasional.
Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata pelbagai langkah dan inisiatif strategik telah dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam negeri supaya kekal relevan dan berdaya saing.
Katanya, antara langkah-langkah tersebut ialah Pelan Operasi Latihan Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan 2025–2030 yang diterbitkan dan dilancarkan pada 8 Julai 2025 yang lalu.
Pelan Operasi Latihan Perkhidmatan Awam ini menjadi dokumen rujukan utama dalam merancang serta menyelaras pembangunan kompetensi penjawat awam secara menyeluruh, sistematik dan berfokus.
“Kerajaan negeri menekankan pelaksanaan program latihan yang berstruktur dan berfokus, merangkumi aspek kepimpinan, pengurusan, perundangan, teknologi digital serta nilai integriti dan akauntabiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari keempat, hari ini.
Katanya lagi, bagi tahun ini, kerajaan negeri telah melaksanakan 93 program latihan berterusan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan di bawah pentadbiran negeri dalam usaha meningkatan kompetensi penjawat awam.
"Selain itu, peranan Bahagian Pengurusan Pejabat Sumber Manusia amat penting dalam memacu agenda transformasi sumber manusia negeri, termasuk memastikan pembangunan kompetensi penjawat awam sejajar dengan aspirasi negeri dan keperluan perkhidmatan masa hadapan," ujarnya.
Dato’ Mohd Nassuruddin turut menegaskan bahawa tugas penjawat awam bukan hanya bersifat duniawi, bahkan turut menjadi amalan akhirat apabila dilaksanakan dengan niat yang ikhlas dan mengikut syariat Islam.
“Amalan yang nampak urusan dunia tetapi dilakukan dengan ikhlas serta menepati syarat-syarat yang dikehendaki Allah SWT turut dikira sebagai amalan akhirat. Ini termasuklah pegawai kerajaan yang memudahkan urusan rakyat dan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah,” jelasnya.

0 Comments