Oleh: Syamimi Manah
Kredit Foto: Unit Media Exco
Kredit Foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 5 November – Kelantan Youth DigitalPreneur (KYD) bakal menjadi platform utama dalam merangka masa depan ekonomi digital belia negeri Kelantan.
Satu sesi Round Table Discussion (RTD) telah diadakan pada 2 November menghimpunkan pelbagai agensi, institusi dan wakil industri bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan digital di Kelantan.
Sesi RTD bersama Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad itu melibatkan penyertaan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), CelcomDigi, Telekom Malaysia (TM) serta usahawan muda tempatan.
Menurut YB Zamakhshari, perbincangan tersebut menjadi langkah strategik untuk mengenal pasti isu, cabaran serta potensi besar yang dimiliki generasi muda Kelantan untuk menjadi peneraju dalam dunia digital.
"Saya percaya, belia Kelantan mempunyai potensi luar biasa untuk menjadi peneraju dalam dunia digital.
"Insya-Allah, dengan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi persekutuan dan institusi pendidikan, kita akan melahirkan lebih ramai usahawan digital muda Kelantan yang mampu berdiri di pentas global." katanya menerusi laman rasmi pada Isnin.
Tambahnya, pembentangan oleh MDEC, menfokuskan kepada peluang baharu dalam freelancer economy dan pembangunan ekosistem digital berdikari di Kelantan.
Manakala UMK memperkenalkan projek AIXcellerate yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkasakan usahawan muda agar lebih kompetitif dalam era digital.
Menurut beliau, diskusi berkenaan turut meneliti tiga perkara utama iaitu isu dan cabaran belia usahawan digital Kelantan, cadangan intervensi dan sokongan agensi, serta kerangka pelaksanaan Kelantan Youth DigitalPreneur 2026.
YB Zamakhshari merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dan idea bernas yang dikongsikan sepanjang sesi tersebut.




0 Comments