KIAS mengorak langkah ke arah citra gemilang

Oleh Rosnani Ripin

KECEMERLANGAN sesebuah universiti Islam tidak hanya dilihat jumlah pelajar atau kemodenan prasarana, sebaliknya berpaksikan nilai, adab dan keseimbangan rohani yang menjadi asas keluhuran ilmu.

Bagi Prof Dr Kamarul Shukri Mat Teh, profesionalisme akademia tidak hanya diukur melalui kecemerlangan teknikal dalam pengajaran dan penulisan ilmiah.

Sebaliknya perlu lebih mendalam mencakupi keikhlasan mendidik, keutuhan jiwa, serta kesungguhan membentuk insan yang berilmu, berakhlak dan beradab.

“Profesionalisme akademia bukan hanya tentang kepakaran, tetapi mengenai kesungguhan mendidik dan membentuk insan. Pensyarah yang berjiwa pendidik menulis bukan untuk pujian, tetapi untuk manfaat umat,” ujarnya pada Bengkel Profesionalisme Akademia: Memacu Kecemerlangan Institusi di Dewan Kuliah 3, Kampus KIAS Nilam Puri baru-baru ini.

Beliau membentang kertas kerja bertajuk ‘Mengangkat Martabat Universiti: Dari Wadah Luhur ke Citra Gemilang.’

Bengkel tersebut dianjur Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (FPIB), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Ia diadakan bagi memperkukuh budaya profesionalisme dan integriti ilmiah dalam kalangan warga akademik.

Bengkel itu menjadi medan menghimpunkan pensyarah bagi memperteguh semangat kepimpinan ilmiah, etika kerja dan adab akademia selaras dengan aspirasi KIAS sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul di negara ini.

Nilai rabbani

Ia digerakkan dengan objektif memantapkan etos akademik melalui pembinaan budaya ilmu yang tulen berpaksikan nilai rabbani dan adab keilmuan.

Kedua, mengukuh profesionalisme tenaga akademik dalam tiga bidang teras universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi, serta khidmat masyarakat berasaskan ilmu dan nilai.

Ketiga, menyemai integriti dan inovasi sebagai asas kecemerlangan institusi dan pembentukan komuniti akademik yang berdaya saing, berakhlak serta berjiwa pendidik.

Bengkel tersebut bukan sekadar program latihan profesional, sebaliknya sebagai wadah pembentukan jiwa murabbi bagi membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan, kebenaran dan keberkatan ilmu.

Selaras dengan tema ‘Memacu Kecemerlangan Institusi’ bengkel itu mengetengahkan perbincangan tentang peranan dan tanggungjawab akademia Islam dalam dunia pendidikan kontemporari.

Sementara itu Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (FPIB) KIAS, Dr Mohd Abalkhair Mat Ali menggariskan hala tuju pembangunan akademik berasaskan nilai, adab dan integriti ilmiah.

Beliau menekankan tenaga pengajar perlu memiliki kekuatan ilmu berpaksikan keikhlasan serta tanggungjawab mendidik sebagai amanah yang menyuburkan kecemerlangan institusi.

Manakala sesi forum dan perbincangan kumpulan membuka ruang wacana dengan meneliti cabaran universiti abad ke-21.

Arus digitalisasi

Antaranya membincangkan krisis makna universiti, tekanan komersialisasi pendidikan serta hakisan nilai kemanusiaan dalam arus digitalisasi dan globalisasi ilmu.

Pada sesi itu peserta berpeluang menilai semula fungsi universiti Islam sebagai wadah pembangunan insan yang seimbang antara intelek dan spiritual.

Selain itu, Sesi Refleksi Profesionalisme pula memberi penekanan kepada keseimbangan antara tanggungjawab ilmiah dan spiritual dalam kerjaya pensyarah.

Ia menjadi ruang muhasabah diri untuk memperbaharui niat, menilai keikhlasan, serta memperkukuh semangat amanah terhadap ilmu dan pelajar.

Bengkel terbabit bukan sahaja berfungsi sebagai wadah pemindahan ilmu, bahkan menjadi platform pembinaan kesedaran reflektif dalam kalangan peserta supaya mereka terus istiqamah sebagai pewaris ilmu Islam yang berwibawa, beradab dan berintegriti.

Dalam sesi perbincangan secara interaktif peserta turut meneliti pelbagai cabaran semasa dunia akademia.

Antaranya krisis makna dan matlamat universiti apabila kejayaan diukur secara komersial; kelesuan budaya ilmu akibat pengaruh budaya segera; serta kekangan kebebasan akademik akibat tekanan birokrasi.

Selain itu, isu hakisan nilai kemanusiaan dan spiritual dalam era teknologi moden turut menjadi perhatian, menandakan perlunya keseimbangan antara kemajuan material dan pembangunan rohani.

Perbincangan tersebut menzahirkan tekad bersama warga akademik KIAS untuk menyatukan dua dimensi penting pendidikan Islam sebagai wadah luhur yang berteraskan nilai dan adab berorientasikan keunggulan akademik dan pengiktirafan global.

Secara keseluruhan, bengkel terbabit memberi impak yang signifikan kepada kesedaran dan komitmen warga akademik terhadap tanggungjawab ilmiah dan sosial.

Hasil utama bengkel termasuk pembentukan pelan tindakan ke arah pembangunan profesionalisme akademik yang berterusan, peningkatan kesedaran terhadap etika ilmu serta komitmen memperkasa budaya penyelidikan, penerbitan dan inovasi di KIAS.

Bengkel tersebut turut mengukuhkan komuniti amalan akademik (community of practice) dalam kalangan pensyarah, sekali gus memupuk semangat kolaborasi, keikhlasan dan ukhuwah ilmiah.

Ternyata Bengkel Profesionalisme Akademia menjadi pemangkin kepada usaha FPIB dan KIAS memperkasa profesionalisme akademia yang berpaksikan nilai Islam, integriti dan kecemerlangan ilmu.

Ia meneguhkan peranan KIAS sebagai taman ilmu yang mendidik insan seimbang antara akal, rohani dan amal.

“Kecemerlangan sejati lahir daripada keikhlasan dan tanggungjawab. Marilah kita jadikan bengkel ini sebagai permulaan baharu untuk memperbaharui niat, memperkasa amal dan mengangkat martabat KIAS ke citra gemilang,” ujar Dr Kamarul.

Post a Comment

0 Comments