Majlis Mahabbah perkukuh silaturahim dengan mantan pemimpin MBI


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 5 November – Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Abdul Rahman Yunus menzahirkan penghargaan dan rasa kasih terhadap kepimpinan negeri serta jasa bakti mantan pemimpin terdahulu yang menjadi tunjang kepada kejayaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak diperkenalkan 35 tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah Kepimpinan Kelantan Bersama Mantan Pemimpin Membangun Bersama Islam yang diadakan bagi meraikan sumbangan dan pengorbanan tokoh-tokoh kepimpinan negeri dalam memartabatkan dasar MBI.

“Penganjuran majlis ini menjadi wadah mempererat hubungan silaturahim sesama pejuang yang telah mengangkat dasar Membangun Bersama Islam hingga dikenali di seluruh negara.

"Semoga majlis ini menjadi asbab bertambah kasih sayang dan kesefahaman antara pemimpin dahulu dan kini,” katanya di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Majlis kelolaan Pejabat Menteri Besar yang menghimpunkan saf kepemimpinan negeri, Ahli Dewan Negeri dan mantan pemimpin Kelantan itu turut dihadiri mantan Menteri Besar Kelantan YB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.


Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas keprihatinan menganjurkan majlis tersebut yang disifatkannya sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pemimpin terdahulu dalam memperkukuh asas pentadbiran Islam di negeri ini.

“Kita diikat dengan satu dasar iaitu Membangun Bersama Islam. Ia bukan sekadar slogan, tetapi manhaj hidup yang membentuk jati diri serta mengembangkan kefahaman Islam sebagai obor penerang negeri.

"Kita mesti terus menjadi benteng mempertahankan dasar ini dengan ilmu dan akhlak mulia, mempertautkan silaturahim dan memperkayakan pengalaman bersama generasi pelapis,” katanya.

Dato’ Ahmad turut memetik pandangan Ibnu Khaldun bahawa “barang siapa yang tidak mengambil pengajaran daripada masa lalu, dia tidak dapat memanfaatkan masa depan,” sebagai peringatan penting terhadap kesinambungan perjuangan dan hikmah sejarah kepimpinan.

Beliau menegaskan, keutuhan istiqamah serta semangat kebersamaan yang dizahirkan melalui majlis seperti itu menjadi pemangkin kepada kekuatan umat dan kestabilan politik di Kelantan.



Post a Comment

0 Comments