Oleh: Asri Hamat
KUCHING, 29 November – Pelajar Kelantan yang menuntut di luar negeri merupakan aset dan kebanggaan kerajaan negeri, selain menjadi cerminan identiti masyarakat Kelantan di persada nasional, tegas Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, pelajar Kelantan sentiasa membawa nama negeri dan perlu menunjukkan akhlak serta sahsiah terpuji sebagai gambaran sebenar nilai masyarakatnya.
“Kelantan mempunyai keistimewaan pada pandangan masyarakat. Sedikit kekurangan pun mudah dijadikan kritikan dan diungkit sebagai ‘itulah orang Kelantan’. Jika berlaku di tempat lain, tidak pula diperbesarkan. Ini menunjukkan Kelantan sentiasa menjadi perhatian.
“Sebab itu, kami pimpinan kerajaan negeri akan menyebut di mana-mana agar anak-anak Kelantan mempamerkan perkara yang baik tentang negeri kita,” katanya ketika berucap pada Program Ttemu Mata Pelajar Kelantan di Kuching, Sarawak, pada Jumaat.
Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata pertemuan bersama pelajar merupakan kesempatan penting bagi pimpinan kerajaan untuk mendekati, menyantuni dan menyampaikan amanat secara langsung kepada anak-anak Kelantan di perantauan.
“Kami sebagai bapa berasa bangga dapat bertemu dengan anak-anak. Kami faham kesibukan para pelajar, sebab itu program ini menjadi sesuatu yang istimewa bagi kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato' Dr. Mohamed Fadzli memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang meneliti kaedah terbaik bagi menyalurkan bantuan sesuai kepada pelajar Kelantan di luar negeri, termasuk bantuan sempena musim perayaan.
Program kelolaan Unit Hubungan Seranta Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu turut dihadiri Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dan timbalannya, YB Nik Bahrum Nik Abdullah.
Bertambah meriah dengan kehadiran Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat yang diiringi Pengarah UPKN Razuan Awang Hamat serta Pengerusi PERAKAN cawangan Kuching, Bintulu dan Miri.



0 Comments