Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 30 November – Walaupun keadaan banjir di Kelantan menunjukkan trend pemulihan, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud terus menyantuni mangsa yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa jajahan.
Antara PPS yang diziarahi ialah PPS Sekolah Hamzah 2 Machang, PPS Sekolah Kebangsaan Klewek di Tanah Merah serta PPS Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di Pasir Mas.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas di lapangan yang komited memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa sentiasa terjaga.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur melihat komitmen kerjasama yang amat tinggi di kalangan semua agensi terlibat. Semoga semua mangsa banjir diberikan kesabaran, kekuatan dan ketenangan oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi media sosial pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan sedaya upaya membantu meringankan beban mangsa serta memastikan segala keperluan asas mencukupi.
Semasa lawatan ke PPS SK Hamzah 2 Machang, Menteri Besar meninjau keadaan mangsa yang berlindung di situ dan menerima laporan terkini daripada Ketua Jajahan Machang, Mohd Zamri Ibrahim mengenai jumlah mangsa serta tindakan susulan yang dilaksanakan.
Beliau turut meluangkan masa bertanya kecukupan stok bahan mentah kepada petugas dapur berkaitan penyediaan makanan.
Turut mengiringi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Zakhran Mat Noor dan ADN Pulai Chondong YB Azhar Salleh.
Menteri Besar juga berkesempatan menyantuni anak-anak serta mangsa banjir, memberikan sokongan moral dan memastikan keperluan mereka berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, di Tanah Merah, Menteri Besar bersama ADN Bukit Panau YB Dato’ Fattah Mahmood menziarahi mangsa di PPS SK Klewek dan menerima taklimat situasi banjir serta jumlah mangsa daripada Ketua Jajahan Tanah Merah Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin yang memaklumkan keadaan masih terkawal.
“Ziarah ini bertujuan meninjau keadaan mangsa, memastikan keperluan mereka mencukupi serta mendengar sendiri maklum balas daripada petugas dan penduduk," ujar Dato' Mohd Nassuruddin.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama agensi negeri dan persekutuan untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara sepanjang musim banjir.





0 Comments