Jaga solat, kebersihan di PPS - Dato’ Siti Zailah


Oleh: Syamimi Manah

RANTAU PANJANG, 29 November – Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diingatkan agar menjaga solat serta memelihara kebersihan sepanjang berada di pusat berkenaan, ujar Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof.

Pesanan itu disampaikan ketika beliau menziarahi dua PPS terlibat iaitu SMK Baroh Pial dan SK Gual Tinggi susulan limpahan air Sungai Golok yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.


“Saya menasihati semua mangsa agar terus bersabar, menjaga solat, kebersihan diri dan persekitaran, mempererat ukhuwah serta menjaga keselamatan anak-anak dan aurat. Banyakkanlah berdoa agar Allah menjauhkan kita daripada bala bencana yang lebih besar,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan serta pegawai agensi kerajaan yang terus komited membantu mangsa banjir.

“Terima kasih kepada semua sukarelawan dan para petugas dari pelbagai agensi yang bertungkus-lumus membantu. Semoga mangsa terus tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya.

Menurut Dato’ Siti Zailah, pemantauan di PPS akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin sepanjang tempoh banjir.



Post a Comment

0 Comments