Draf pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 di peringkat akhir, dijangka dibentang tahun depan

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 17 Disember - Draf pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Kelantan 2019 kini di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Negeri (DUN) Kelantan pada tahun depan, 2026.

Hal tersebut dimaklumkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pelaksana yang dipengerusikan oleh YB Wan Rohimi Wan Daud sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada November lalu bagi membincangkan beberapa perkara yang perlu dipinda atau diperhalusi.

“Insya Allah, draf pindaan terkini akan diangkat semula ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan sebelum dibawa ke MAIK, Exco Kerajaan Negeri dan seterusnya ke Sidang DUN Kelantan. Sekiranya Sidang DUN diadakan pada Mac 2026, insya Allah enakmen ini sempat dibentangkan, dengan syarat tiada masalah teknikal,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri pada asalnya menyasarkan enakmen itu dibentangkan pada tahun 2025, namun proses pindaan mengambil masa berikutan teguran dan pandangan beberapa Ahli Majlis Jemaah Ulama MAIK yang perlu diberi perhatian serius.

“Pindaan ini tidak semudah disangka kerana melibatkan aspek perundangan dan Perlembagaan. Dalam perkara ini, kita perlu lebih cermat,” tegasnya.

Pindaan berkenaan melibatkan 16 seksyen yang sebelum ini dibatalkan susulan cabaran perundangan oleh Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

“Kesemua 16 seksyen itu telah dipinda semula dengan pendekatan lebih berhati-hati. Ada yang dirangkumkan dan tidak semestinya dikekalkan dalam bentuk asal, tetapi disusun semula supaya lebih efisien, kemas dan selari dengan Perlembagaan bagi mengelakkan cabaran pada masa hadapan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui sebarang undang-undang tetap berdepan risiko cabaran, namun kerajaan negeri bersedia melakukan penambahbaikan sekiranya perlu.

“Kalau ada cabaran, kita akan perbaiki dan angkat semula dengan pindaan yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, YB Mohd Asri menegaskan Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa membuat yang terbaik untuk semua komuniti yang ada di Kelantan dalam usaha untuk mengekang gejala yang bercanggah dengan agama di negeri ini.

“Untuk mengekang gejala songsang dan maksiat, kita perkenalkan EKJS. Manakala bagi menangani isu keluarga seperti pergolakan rumah tangga dan perceraian, kita menggubal undang-undang keluarga Islam,” katanya.

Post a Comment

0 Comments