Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 17 Disember - Isu kemunduran komuniti nelayan bandar, jurang sistem pendidikan golongan orang kurang upaya (OKU) serta beban tugas guru menjadi antara suara utama rakyat Kelantan yang diketengahkan untuk diberi perhatian serius dalam perancangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Perkara tersebut dibangkitkan semasa Sesi Libat Urus Awam RMK13 Peringkat Negeri Kelantan yang di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Program anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan itu adalah platform rakyat menyuarakan isu akar umbi untuk dimasukkan ke dalam pelan tindakan pembangunan negara.
Slot libat urus itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya Datuk Dr Anis Yusai Yusoff, yang membuka ruang dialog terbuka antara wakil masyarakat dan penggubal dasar.
![]() |
| Wakil Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu, Nik Muhammad Kamal |
Wakil Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu Nik Muhammad Kamal berkata, komuniti nelayan di kawasan berhampiran pusat bandar Kota Bharu antara yang paling terpinggir di Kelantan susulan kekangan infrastruktur yang berpanjangan.
“Pembinaan pemecah ombak penting untuk industri perikanan. Ia boleh mengurangkan risiko limpahan banjir di bandar Kota Bharu dan berpotensi memulihkan hakisan pantai seperti di Pantai Kundur, Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Sabak,” katanya.
Beliau turut memohon agar kerajaan menyediakan tempat perlindungan bot kepada nelayan sepanjang musim tengkujuh, memandangkan kerosakan bot akibat arus banjir boleh mengakibatkan kerugian besar dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
![]() |
| Wakil Pertubuhan Cakna OKU Kelantan, Muhammad Saat |
Sementara itu, wakil Pertubuhan Cakna OKU Kelantan Muhammad Saat pula menekankan keperluan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan berkeadilan kepada golongan OKU, khususnya selepas melepasi tempoh pendidikan formal.
“Saya mencadangkan agar Jabatan Pendidikan mengkaji semula sistem pendidikan OKU, terutamanya dari sudut TVET. Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM) juga wajar dibuka kepada golongan OKU supaya sistem pendidikan berlaku lebih adil,” ujarnya.
![]() |
| Wakil Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Muhammad Zapawi Mamat |
Dalam perkembangan sama, wakil Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia Muhammad Zapawi Mamat, menggesa agar RMK13 memberi penekanan terhadap pengurangan beban tugas guru yang kini dibebani kerja pengkeranian dan tugasan bukan akademik.
“Sebelum ini pernah dicadangkan supaya 10,000 petugas diwujudkan bagi membantu guru, namun hingga kini ia tidak direalisasikan. Kami mohon kerajaan membawa semula cadangan ini dan membuka penjawatan pembantu guru bagi membantu urusan pengkeranian,” katanya.




0 Comments