Oleh Salmah Mat Husain|
KOTA BHARU: Rombakan
kabinet Kerajaan Madani baru-baru ini dianggap sebagai strategi bertahan bagi
memperkukuh PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum
(PRU) ke-16.
Malah ia juga bagi memujuk DAP dengan diberikan portfolio strategik termasuk berkaitan ekonomi, belia, alam sekitar serta pentadbiran bandar.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Nawi berkata, perubahan yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar mengurus kelangsungan kuasa berbanding membawa agenda transformasi nasional.
Katanya, secara zahir kabinet baru kelihatan dianggotai teknokratik, sederhana dan inklusif, namun dari sudut strategi politik jelas membayangkan pendekatan mahu mengekalkan kuasa menjelang PRU-16.
“Sabah dan Sarawak pula sekadar ‘diamankan’ melalui jawatan teknikal dan neutral, cukup untuk mengekalkan kesetiaan,” katanya di sini.
Baru-baru ini pada rombakan kabinet kali kedua, bekas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Manakala anak Speaker Dewan Rakyat Dr Mohd Taufiq Johari menggantikan tempat Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Pelantikan kedua-dua pemimpin terbabit menimbulkan perdebatan umum memandangkan pemimpin bukan Melayu pertama dalam sejarah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Manakala pelantikan Dr Mohd Taufiq mencetus isu nepotisme kerana melibatkan anak kepada Speaker. Malah, lebih mendebarkan ramai mengungkitkan status Dr yang digunakan di pangkal namanya.
Mohd Firdaus juga berkata, kedudukan Umno pula dalam keadaan tergantung, tidak dibesarkan dan juga tidak dimatikan.
“Umno sekadar dijadikan penampan Melayu, bukan peneraju naratif. Peranannya bagi menghalang PAS daripada memonopoli sentimen Melayu-Islam,” ujarnya.
Menurutnya juga beberapa parti sekutu dalam PH dan BN jelas dianaktirikan termasuk Amanah yang tidak diberi peranan lebih meluas.
Kata beliau Amanah hanya berfungsi sebagai pelengkap moral dalam kerajaan dan bukan aset. MCA dan MIC pula dikekalkan sekadar simbol sejarah BN, bukan sebagai pemain sebenar.
“Isu integriti dan konflik kepentingan boleh menjadi liabiliti besar kepada kerajaan Madani. Ia jelas berlaku terhadap Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
“Walaupun sah dari sudut perlembagaan, namun wujud konflik kepentingan dari sudut moral sehingga mengundang persepsi yang bercanggah dengan falsafah Madani,” katanya.



0 Comments