Dewan Belia Kelantan sedia bekerjasama angkat suara belia ke peringkat nasional

Bersama Exco Belia Perak

Oleh: Syamimi Manah

IPOH, 23 Disember – Dewan Belia Kelantan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi mengangkat suara belia ke peringkat nasional.

Kenyataan tersebut dizahirkan melalui penyertaan lapan Ahli Dewan Belia (ADN) Kelantan dalam Pemukiman Dewan Belia Perak yang berlangsung dari 19 hingga 21 Disember 2025 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Pemukiman berkenaan menghimpunkan Ahli Dewan Belia negeri-negeri seluruh Malaysia dan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan inisiatif Dewan Belia Negeri Perak sebagai wadah strategik memperkukuh jaringan kepimpinan belia rentas negeri, selain membuka ruang diplomasi dan perkongsian idea antara pemimpin muda.

Ketua Whip yang merupakan Ahli Dewan Belia (ADN) Panchor Nik Muhammad Luqman Al Hakim Mohd Roslan berkata, Dewan Belia Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak atas penganjuran serta jemputan yang diberikan kepada Ahli Dewan Belia Kelantan.

Bersama YAB Menteri Besar Perak

“Pemukiman ini melibatkan seramai 113 peserta yang telah membincangkan 53 isu dan cabaran belia, seterusnya mencapai kata sepakat terhadap 24 resolusi untuk diperjuangkan dan dibawakan kepada Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

Menurutnya, Dewan Belia Kelantan berharap agar program berkenaan tidak terhenti setakat itu sahaja, malah diteruskan sebagai platform berterusan dalam menyatukan suara belia di peringkat nasional.

“Dewan Belia Kelantan bersedia untuk sebarang bentuk kerjasama demi mengangkat suara belia ke peringkat yang lebih tinggi, selari dengan prinsip ‘dari belia untuk belia’,” jelasnya.

Program itu turut memberi peluang kepada ADN Belia Kelantan mempromosikan Dewan Belia Kelantan kepada YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak YB Dato’ Khairudin Abu Hanipah serta Penganalisis Politik Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Bersama Penganalisis Politik Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Pemukiman tersebut telah membincangkan isu dan cabaran belia berdasarkan enam kluster utama iaitu sosial, teknologi, alam sekitar, ekonomi, politik dan nilai, yang mencerminkan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan belia negara.

Antara resolusi yang dipersetujui termasuk cadangan mengatasi kepincangan hedonisme sosial dalam kalangan belia, usaha menangani cabaran teknologi dan kecerdasan buatan (AI), serta penekanan terhadap peranan belia dalam memelihara alam sekitar dan memupuk kelestarian ekosistem.

Selain itu, pemukiman itu turut menekankan kepentingan memperkasakan ekonomi belia Malaysia, memperkukuhkan peranan kerajaan dalam menangani stigma terhadap belia dalam aspek politik, serta memperkukuh nilai dan jati diri belia sebagai asas pembentukan kepimpinan masa depan negara.

Penyerahan plak kepada YAB Menteri Besar Perak


Post a Comment

0 Comments