Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Rombakan kabinet kerajaan Madani baru-baru ini dianggap sebagai jalan singkat
untuk menutup kegagalan pentadbiran di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adun Tendong, Rozi Muhamad berkata, perdana menteri memilih menukar menteri selepas berdepan asakan rakyat berkaitan peningkatan kos sara hidup sekarang.
Namun malangnya kata beliau rombakan tersebut bukan langkah pembaharuan strategik, sebaliknya terus dipertikai rakyat kerana memberi kuasa berlebihan kepada DAP.
“Apa yang berlaku itu bukti jelas kegagalan pentadbiran kerajaan Madani selepas tiga tahun mentadbir negara.
“Rombakan kabinet kali ini lebih bersifat politik bagi mengelakkan ugutan berterusan parti dominan dalam kerajaan Madani,” katanya selepas majlis Khatam Perdana anjuran Pusat Khidmat Dun Tendong semalam.
Pada program terbabit seramai 100 kanak-kanak mengikuti program khatan yang diadakan di Balai Penggawa Tendong.
Baru-baru ini Anwar membuat rombakan kabinet melibatkan enam timbalan menteri dan seorang muka baharu diangkat sebagai menteri penuh.
Rombakan kabinet tersebut melibatkan 11 portfolio termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Sementara itu program berkhatan percuma dianjur sebagai usaha meringankan beban kewangan ibu bapa, di samping memastikan kebajikan kanak-kanak terus diberi perhatian.
Rozi berkata, program berkenaan melibatkan 13 petugas perubatan yang berpengalaman mengendalikan proses berkhatan.
Manakala ibu bapa yang ditemui merakamkan penghargaan dan terima kasih atas inisiatif dianjurkan wakil rakyat bagi meringankan bebanan kewangan ibu bapa.
Seorang ibu Rosmina Kasim, 40 berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kos kewangan, malah mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.


0 Comments