Siapa sanggup berkorban demi masa depan ummah

 

Oleh A Rahman Harun |

BAGAN SERAI: Semangat penyatuan ummah yang terjalin antara PAS dan Umno di bawah Piagam Muafakat Nasional tidak pernah luntur.

Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad berkata, biarpun idealogi politik kedua-dua parti itu berbeza, namun demi agenda Melayu dan Islam muafakat ummah perlu diteruskan.

Katanya, tanpa penyatuan sebenar, aspirasi politik Melayu dan Islam tidak akan bermaya dan ia mudah dimanipulasi pihak yang berkepentingan.

"Penyatuan ummah merupakan keperluan politik bukan retorik, ummah tidak akan hancur kerana perbezaan parti, ummah juga menjadi lemah kerana terlalu lama dipisahkan kepentingan sempit dan ego berpolitik.

"Ketika Umno dan PAS memilih bersatu di bawah Piagam Muafakat Nasional, agama Islam dimartabatkan, orang Melayu diperkasakan dan kestabilan negara dapat dipertahankan," katanya pada kenyataan.

Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Perak berkata, agenda penyatuan ummah bukan bermakna mengadai prinsip atau menghapuskan perbezaan, namun meletakkan kepentingan ummah lebih tinggi.

Menurutnya penyatuan ummah bukan bermaksud menghapuskan prinsip, sebaliknya meletakkan kepentingan ummah mengatasi parti.

"Soalnya bukan siapa paling dominan, tetapi siapa yang sanggup berkorban demi masa depan ummah, penyatuan ummah ada keperluan politik yang yang mendesak, bukan slogan kosong," kata beliau.

Pada 14 September 2019 PAS dan Umno menandatangani Piagam Muafakat Nasional bagi membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya.

Piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


 

Post a Comment

0 Comments