93 sekolah YIK mula sesi persekolahan 2026

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Sebanyak 93 sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) memulakan sesi persekolahan baharu 2026 hari ini.

Sekolah terbabit termasuk maahad kawalan, maahad pilihan, maahad kerajaan, sekolah rendah ugama, tadika dan pusat pengajian pondok.

Sempena pembukaan sesi baru Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat meninjau sekolah Maahad Amir Indera Petra Bachok.  

Hadir sama Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar dan pegawai kanan YIK.

Beliau turut mengambil kesempatan bertanya khabar pelajar tingkatan satu, empat dan lima di samping menyampaikan kata-kata semangat.

“Pelajar perlu memanfaatkan peluang pembelajaran dengan sebaiknya, menjaga adab serta membina disiplin diri demi masa depan yang lebih cemerlang.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha ini dan mengurniakan kejayaan kepada seluruh warga Maahad Amir Indera Petra,” katanya.

Menurutnya juga kepentingan menjaga akhlak, mematuhi undang-undang sekolah serta membentuk disiplin diri yang baik sebagai asas kepada pembentukan sahsiah dan kejayaan masa depan.

Di samping itu ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memantau anak-anak ketika berada di rumah.

Kata beliau ibu bapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada guru, sebaliknya mereka perlu memantau pergaulan, aktiviti anak-anak ketika berada di rumah.

“Cabaran semasa semakin kompleks menuntut kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan institusi pendidikan bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia serta bertanggungjawab,” ujarnya.


 

Post a Comment

0 Comments