Ahmad Fikri terima Ijazah Sanad Aliyah al-Quran Kerajaan Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 15 Januari - Pelajar tahfiz Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) Kemumin, Pengkalan Chepa, Ahmad Fikri Abdul Hisyam, 17, yang berjaya menamatkan ujian syahadah 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 jam tanpa sebarang kesalahan menerima Ijazah Sanad Aliyah al-Quran daripada Kerajaan Negeri Kelantan, hari ini.

Ahmad Fikri yang berasal dari Limau Kasturi, Gua Musang, menerima ijazah berkenaan daripada Pusat Tarannum al-Quran Negeri Kelantan yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Penyampaian ijazah disempurnakan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud di Mabna, hari ini.

Selain ijazah, Ahmad Fikri yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu turut menerima sijil penghargaan daripada Pusat Tarannum Negeri Kelantan serta saguhati keraian bernilai RM3,000.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

YB Mohd Asri berkata, kejayaan Ahmad Fikri menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa singkat tanpa kesalahan adalah pencapaian luar biasa dan jarang berlaku.

“Ini bukan perkara mudah dan tidak semua mampu melakukannya. Kejayaan ini menunjukkan keistimewaan yang ada pada adik Ahmad Fikri dan wajar diberikan penghargaan. Kejayaan seperti ini perlu ditonjolkan supaya menjadi contoh dan inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa Ahmad Fikri, Abdul Hisham Daud dan isteri, atas kejayaan mendidik anak-anak mereka sebagai penghafaz al-Quran.

“Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak. Didikan yang baik akan membuahkan hasil. Amalan mendidik anak membaca al-Quran walaupun beberapa ayat sebelum ke sekolah memberi kesan besar dalam membentuk kecintaan kepada al-Quran,” jelasnya.


YB Mohd Asri juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sejak era Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berhasrat melihat setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seorang hafiz al-Quran.

Sementara itu, Abdul Hisham Daud berkata amalan membaca al-Quran sebelum ke sekolah, melazimi solat berjemaah, solat duha, berselawat dan beristighfar antara faktor kejayaan anak-anaknya.

“Doa ibu bapa juga sangat penting selain memberi galakan dan sentiasa menziarahi anak-anak di sekolah,” ujarnya.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Pengarah JAHEAIK Dr Hasan Ramli, Tenaga Pengajar Pusat Tarannum Negeri Kelantan Sheikh Hisham Abdul Bari, Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamat serta Ketua Pengelola Halaqat Negeri Kelantan Dr Mohd Alwi Mohd Yusof.



Post a Comment

0 Comments