Agenda LGBT jenayah kemanusiaan global

 

Oleh Salmah Mat Husain |

TUMPAT: Sebarang penganjuran glamping atau apa jua bentuk program yang mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) dan berkaitan dianggap bercanggah dengan dasar negara dan nilai kemanusiaan sejagat.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, program seumpama itu tidak wajar dianjurkan di negara ini kerana ia agenda songsang.

Katanya, golongan pro-LGBT secara konsisten memasarkan pegangan sesat mereka melalui pelbagai bentuk aktiviti dan pendekatan yang kelihatan santai bagi mengelirukan masyarakat.

“Kerajaan tidak wajar membenarkan sebarang bentuk promosi, penularan atau penyusupan agenda yang jelas bertentangan dengan polisi negara.

 “Apa lagi perkara itu berpotensi memusnahkan generasi dan tamadun manusia khususnya pada masa akan datang.

“Islam jelas mengutuk perbuatan itu kerana ia merosakkan individu, institusi keluarga dan struktur masyarakat,” katanya sebagai mengulas penganjuran ‘Glamping with Pride’ iaitu program perkhemahan mewah yang dilihat mempunyai unsur LGBT di Selangor.

Media melaporkan program 'Glamping with Pride' akan diadakan di Hulu Langat, Selangor pada 17 dan 18 Januari ini.

Berikutan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup songsang di negeri itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan bersama berkata, Sultan Sharafuddin menzahirkan tentangan dan bantahan terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT dianjur di Selangor.

Malah, media melaporkan penduduk Hulu Langat membuat laporan polis terhadap penganjuran program perkhemahan didakwa berunsur pergaulan songsang.

Pengerusi Ikatan Perpaduan Melayu Islam Hulu Langat (IKATAN), Ahmad Fuad Abdul Rahman berkata, bantahan dibuat kerana penganjur disifatkan tidak sensitif dengan majoriti penduduk beragama Islam.

Mumtaz menegaskan agenda seks luar tabii bertentangan dengan fitrah Islam serta agama-agama samawi, selain disifatkan sebagai agenda ekstrem yang memuja hawa nafsu dan kehendak seksual sementara.

“Ia akhirnya membawa padah besar kepada diri, keluarga dan masyarakat. Ini bukan isu kebebasan atau pilihan peribadi, tetapi kerosakan nilai yang serius.

“Jangan membawa dan memasarkan agenda tidak sihat ke dalam negara. Ia merupakan perbuatan jenayah kemanusiaan global yang wajib ditolak,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments