Insentif Khas Taska pastikan kebajikan kanak-kanak terus terpelihara


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 13 Januari – Kerajaan Negeri terus memberi perhatian serius terhadap kebajikan dan keselamatan kanak-kanak di taska melalui pemberian Insentif Khas Taska yang berbentuk bantuan kewangan sebagai usaha memperkukuh sistem pengurusan pusat asuhan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim memaklumkan bahawa pihaknya bersama pengarah serta pegawai-pegawai Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) telah turun padang menyantuni beberapa penerima Insentif Khas Taska bagi tahun 2025 di daerah Bachok pada 11 Januari lalu.


Menurutnya, lawatan tersebut diadakan bagi menilai secara langsung tahap pengurusan taska, aspek keselamatan, kebajikan kanak-kanak serta pematuhan garis panduan operasi yang telah ditetapkan.

“Insentif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu ikhtiar kerajaan untuk memastikan anak-anak diasuh dalam persekitaran yang selamat, sihat dan berakhlak, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan amanah menjaga generasi,” katanya menerusi laman rasmi, pada Ahad.


Terdahulu, sebanyak 41 buah taska swasta telah menerima insentif khas kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM205,000 pada tahun 2025.

Dato' Rohani turut berharap usaha tersebut menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi yang seimbang dari segi fizikal, emosi, intelek dan rohani.

“Insya Allah, kebajikan kanak-kanak akan terus menjadi keutamaan kita bersama,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments