Pembangunan Bandar Baru Tunjong pacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang Kelantan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media TMB

KOTA DARULNAIM, 13 Januari – Pembangunan Bandar Baru Tunjong terus menjadi antara agenda utama Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang melalui pembangunan bandar yang tersusun, moden, berdaya saing serta inklusif, mampan dan berimpak tinggi.

Sehubungan itu, satu Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan dan Pembangunan Tanah antara Kumpulan Damai Abadi (KDA) dan Perbadanan Bandar Baru Tunjong (PBBT) telah diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam memudah cara pelaburan strategik secara tersusun dan berfasa.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan di sebuah hotel di Shah Alam pada Isnin.


YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menegaskan bahawa kerjasama tersebut selaras dengan pendekatan tadbir urus pembangunan negeri yang berteraskan integriti, ketelusan serta pematuhan kepada perancangan induk yang telah digariskan.

Menurutnya, kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh keyakinan pelabur di samping memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Perjanjian ini merangkumi lot strategik di koridor hadapan Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas yang dikenal pasti sebagai kawasan utama dalam pelan induk Bandar Baru Tunjong.

“Kedudukan strategik ini berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi bandar dan negeri secara berperingkat agar manfaat pembangunan dapat direalisasikan sepenuhnya, termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan kegiatan ekonomi setempat serta memberi limpahan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.



Post a Comment

0 Comments