Kerja-kerja menambun tanah KB Sentral giat dijalan

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kerja menambun tanah projek Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) dilaksanakan sebuah syarikat berdasar tender yang dibuat akhir tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek terbabit mendapat kelulusan kerajaan.

Katanya, mesyuarat bersama bagi membincangkan projek berkenaan sebelum ini turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya akan turun padang ke tapak KB Sentral bersama pegawai JKR dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga keadaan tanah di tapak berkenaan agak lembut memerlukan kerja penimbunan dilakukan mengikut ketinggian tertentu bagi memastikan tanah benar-benar mampat dan selamat.

Kata beliau proses penimbunan dan pemadatan tanah dijangka mengambil masa kira-kira setahun setengah.

Beliau juga berkata, sepanjang tempoh tersebut, proses penimbunan tanah akan berjalan serentak dengan penelitian terhadap cadangan dan perancangan pembinaan KB Sentral.

“Skop kerja penimbunan tanah merangkumi kerja penambakan, pemadatan dan meratakan tanah seperti yang diperincikan dalam Bill of Quantities (BQ),” katanya.

Pada Rabu lepas Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan  berkata, kerja-kerja tanah projek pembinaan KB Sentral melibatkan kos RM14 juta berbanding jangkaan awal RM8 juta hingga RM12 juta.

 

Post a Comment

0 Comments