Penilaian dasar perlu analisis kritikal berteraskan syariah, kemaslahatan – TMB Kelantan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media TMB

KOTA DARULNAIM, 14 Januari – Penilaian terhadap isu pentadbiran dan dasar kerajaan tidak boleh dibuat secara literal semata-mata berdasarkan fakta atau dokumen, sebaliknya perlu dianalisis secara kritikal dengan mengambil kira kebenaran tersurat dan tersirat, berpandukan prinsip syariah serta kemaslahatan dunia dan akhirat.
Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya, kerangka amanah pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan berpaksikan pendekatan MBI-UMI, yang menuntut proses membuat keputusan dilakukan melalui penelitian mendalam, mendengar pandangan pelbagai pihak, menilai isu secara konsep istiqra’ serta memilih alternatif paling munasabah dan berimpak tinggi.

“Pendekatan ini memastikan setiap keputusan bukan sahaja memberi manfaat dari sudut duniawi, malah selari dengan tuntutan ukhrawi,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Terdahulu beliau menghadiri Program Master Class Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.


Program berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan kerajaan negeri bagi sesi perkongsian dan perbincangan berkaitan tadbir urus, kepimpinan serta pengurusan dasar awam dalam konteks semasa.

Antara pengisian utama ialah pembentangan oleh Mantan Speaker Dewan Rakyat dan Mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Azhar Azizan @ Harun, yang berkongsi pengalaman serta perspektif luas berkaitan pengurusan institusi, perundangan dan kepimpinan sektor awam.

Antara isu dibentangkan termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (ART), khususnya berhubung terma-terma yang diragui, implikasi perundangan, dasar perdagangan serta kesan terhadap kedaulatan negara.

Mengulas perkara itu, Dato’ Dr Mohamed Fadzli menegaskan bahawa sebarang perjanjian antarabangsa perlu difahami dalam konteks persaingan kuasa besar, penjajaran ekonomi strategik serta perubahan imbangan kuasa global.

“Penilaian yang teliti penting bagi memastikan ruang autonomi dasar serta kepentingan negeri dalam kerangka Persekutuan terus terpelihara,” tegasnya.



Post a Comment

0 Comments