KOTA DARULNAIM, 15 Januari - Kerja-kerja tanah bagi Cadangan Pembangunan Terminal Kota Bharu (KB Sentral) sudah bermula.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, pelaksanaan fasa 1 kerja-kerja rawatan tanah di tapak projek seluas kira-kira lima ekar itu, kini sedang dijalankan dan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan.
Beliau berkata demikian semasa sesi Taklimat dan Lawatan Tapak Projek KB Sentral yang turut disertai Timbalan Exco YB Saizol Ismail Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Pengarah JKR Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail.
"Kerja-kerja perawatan tanah akan dilaksanakan oleh syarikat CHEC dengan kos berjumlah RM14 juta. Kerja ini melibatkan kaedah Prefabricated Vertical Drain (PVD) bagi tujuan pengaliran keluar air tanah dan penstabilan tapak," katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa tapak projek yang merupakan tanah bendang itu memerlukan kaedah rawatan khas sebelum pembinaan dapat dimulakan, justeru kaedah Prefabricated Vertical Drain (PVD) digunakan bagi memastikan kestabilan tanah.
“Tapak ini tidak boleh dibina secara terus. Tanah perlu dikeluarkan sedalam dua meter, ditambun semula dua meter dan seterusnya ditambah tanah pemberat bagi memastikan proses pemampatan tanah berlaku dengan sempurna,” ujarnya.
Dato’ Dr. Izani turut menegaskan bahawa projek KB Sentral merupakan antara projek keutamaan kerajaan negeri dengan sokongan penuh daripada JKR dan UPEN Negeri Kelantan.
“Insya Allah, dengan sokongan semua pihak, kita yakin kerja-kerja tambun tanah ini dapat disiapkan mengikut perancangan.
JKR Kelantan pula bertindak sebagai pemantau utama projek dengan penglibatan pegawai-pegawai berpengalaman,” katanya.




0 Comments