Khazanah seni papar pelbagai etnik di Malaysia

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pelukis tersohor, Ismail Embong berharap khazanah seni dan budaya masyarakat Malaysia berbilang etnik dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, budaya itu boleh diketengahkan melalui karya-karya yang memaparkan masyarakat Malaysia daripada pelbagai etnik.

Beliau berkata, keaslian seni dan budaya tempatan wajar diketengah kepada dunia luar kerana ia mencerminkan identiti dan warisan bangsa yang masih utuh.

“Dari dahulu sehingga sekarang, kesenian warisan kita tidak berubah kecuali warna yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada majlis Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di Balai Seni Lukis Negeri semalam.

Ismail juga berkata, seni persembahan antaranya Mak Yong kekal dari dahulu sehingga kini yang memperlihatkan seni warisan Melayu.

Tambah beliau, pameran seni menjadi medium penting untuk menyebarkan keistimewaan masyarakat Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menonjolkan keunikan budaya di setiap negeri.

“Kita mahu dunia mengenali keistimewaan orang Melayu di Malaysia termasuk warisan seni, budaya serta pakaian tradisional yang mencerminkan identiti bangsa-bangsa di negara ini,” katanya.

Hampir 200 karya lukisan hasil sentuhan Ismail bersama dua anaknya, Emma Maembong dan Shikin Maembong dipamerkan di Balai Seni Lukis Negeri Kelantan.

Pameran itu berlangsung selama dua bulan dan akan berakhir 31 Januari ini, menampilkan keindahan budaya serta kepelbagaian etnik masyarakat Malaysia melalui karya seni berasaskan kanvas.

Pameran berbentuk jelajah itu bermula di Terengganu dan akan diterus ke Kedah serta Melaka.


 

Post a Comment

0 Comments