Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 26 Januari - Kilang Padi & Beras Darulnaim di Mukim Tasik Berangan, Gual Periok kini sudah beroperasi dengan kapasiti pemprosesan sehingga 600 metrik tan padi sehari, sekali gus memperkukuh rantaian industri padi dan beras di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, kilang itu dijangka menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kebajikan pesawah, mempercepatkan urusan pemprosesan padi serta menjamin keterjaminan bekalan beras tempatan di negeri ini.
"Setakat ini, kilang berkenaan telah mula memproses padi dan menghasilkan beras campuran sebagai fasa awal pengeluaran,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.
Beliau berkata, beras keluaran kilang tersebut dijangka berada di pasaran dalam masa terdekat, sekali gus memberi pilihan beras tempatan kepada pengguna serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
Penubuhan dan pengoperasian kilang itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan serta memartabatkan industri padi dan beras tempatan di Kelantan.
Terdahulu, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin mengadakan lawatan ke kilang berkenaan yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) merangkap Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Dato’ Sr Zamri Ismail.
Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Shaari Mat Hussain, Ahli Dewan Negeri (ADN) Cempaka, YB Nik Bahrum Nik Abdullah, ADN Semerak, YB Nor Sham Sulaiman, ADN Gaal, YB Ustaz Mohd Rodzi Jaafar dan ADN Bukit Bunga, YB Almidi Jaafar.
Dalam perkembangan lain, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Pusat (KADA) Jajahan Pasir Puteh serta penghulu mukim mengadakan lawatan ke sawah padi di Kampung Berangan, Selising bagi meninjau situasi semasa pesawah.
Katanya sebanyak 150 hektar kawasan tanaman padi terjejas akibat masalah kekurangan bekalan air susulan cuaca panas yang berpanjangan akhir-akhir ini.
"Insya-Allah, beberapa bantuan keperluan seperti paip dan enjin akan disalurkan bagi membantu urusan pengairan ke kawasan yang terkesan demi kelangsungan hasil pesawah," ujarnya.



0 Comments